Sesi Dialog tingkatkan keberkesanan perkhidmatan agama




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BERAKAS, Isnin, 14 Julai. - Kondisi Sesi Dialog adalah berupa perbincangan terbuka mengenai hal ehwal agama. Bukan setakat Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) – Ministry of Religious Affairs tetapi adalah mengenai perkhidmatannya yang sudah diketahui meliputi banyak bidang yang sifatnya dan coraknya keagamaan.


Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman seterusnya mengajak para pegawai, kakitangan KHEU untuk berbincang, bertukar-tukar fikiran, memberi buah fikiran, menghulurkan pandangan, mengemukakan cadangan.


“Itulah maksud dialog. Untuk kita berbincang dengan fikiran tenang, perkataan yang jelas. Kalau ada yang masih kusut, kita cuba huraikan. Kita cari solusinya (penyelesaian).


“Kalau solusinya lebih baik daripada apa yang telah dibuat atau terus menerus diikuti sampai sekarang, maka insyaaAllah kami akan terima sekarang atau akan timbangkan untuk kajian dan penelitian lanjut," ujar Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa mempengerusikan Sesi Dialog KHEU bersama Pemimpin Akar Umbi dan Pihak Berkepentingan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.


Sesi diteruskan dengan taklimat mengenai perkhidmatan-perkhidmatan ugama di bawah KHEU yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan diakhiri dengan sesi soal jawab.


Antara yang hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para penghulu dan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara; pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pembangunan komuniti; Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta pemimpin-pemimpin belia dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang sosial, dakwah dan pembangunan masyarakat.


Hadir sama, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan di bawah KHEU.


KHEU memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat Negara Brunei Darussalam (NBD). Selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan Wawasan Brunei 2035, KHEU berusaha memastikan perkhidmatan-perkhidmatan agama yang disampaikan adalah telus, relevan dan berkesan.


Bagi mencapai matlamat ini, Sesi Dialog KHEU bersama Pemimpin Akar Umbi dan Pihak Berkepentingan diadakan sebagai platform untuk bertukar pandangan, mengenal pasti cabaran dan merangka strategi penambahbaikan perkhidmatan agama.


Inisiatif ini juga adalah sebagai usaha pihak KHEU dalam mendukung agenda pembangunan negara melalui perkongsian pandangan antara pihak kerajaan dan masyarakat di negara ini.


Adalah diharapkan Sesi Dialog ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kerajaan dan masyarakat, memperkemas penyelarasan dasar serta meningkatkan keberkesanan perkhidmatan agama di peringkat akar umbi.


Sebagai kesinambungan kepada sesi hari ini, Sesi Dialog akan diteruskan ke daerah-daerah lain iaitu Daerah Tutong, Sesi Dialog akan diadakan pada Rabu, 16 Julai 2025 bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.


Bagi Daerah Temburong dijadualkan pada Selasa, 22 Julai 2025 bertempat di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong. Manakala bagi Daerah Belait, Sesi Dialog akan diadakan pada Sabtu, 26 Julai 2025 bertempat di Dewan Persidangan, Kuala Belait.


Sesi-sesi Dialog ini diharap akan menjadi wadah yang berkesan dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan masyarakat serta mendukung pembangunan agama secara menyeluruh, progresif dan mampan di NBD.


Close