Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammed Marherman Hanaffi Haji Omar
KIARONG, Isnin, 14 Julai. - Rakyat jelata dan penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini sama-sama menghadirkan diri ke semua masjid, surau dan juga balai ibadat bagi sama-sama menzahirkan patriotisme sebagai tanda kecintaan terhadap raja yang dikasihi terutama sekali menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 pada tahun ini.
Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, Tahun 2025 lebih bermakna dengan keberangkatan baginda bercemar duli ke Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, lewat petang tadi.
Juga berangkat, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-79 Tahun.
Turut menjunjung keberangkatan tiba, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan serta Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-79, Tahun 2025.
Sejurus Azan Fardu Maghrib berkumandang, Kebawah DYMM dan kerabat diraja menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Majlis diteruskan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi sama-sama memohon kesihatan, keafiatan dan kesejahteraan serta semoga NBD terhindar daripada segala bencana dan seterusnya sentiasa dikurniakan kemakmuran dan kesejahteraan.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim selanjutnya mengepalai bacaan Doa Kesyukuran yang antara lain merafakkan permohonan doa.
“Kami selaku rakyat jelata di NBD merafakkan rasa syukur dan gembira atas nikmat lanjut usia, sihat tubuh badan serta kekal karar memerintah bagi raja kami yang dikasihi, Kebawah DYMM merafakkan doa lanjut usia, kekal memerintah negara bagi raja kami, Kebawah DYMM Paduka Seri Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
“Ya Tuhan kami, mohon perkenankan doa kami, supaya kami terus konsisten mengasihi raja kami, terus menyokong dan mendukung kepimpinan baginda, sehingga dengan itu dapatlah baginda merealisasikan harapan baginda sendiri dan harapan seluruh rakyat dan penduduk NBD untuk melihat negara ini menjadi sebuah negara yang maju, yang mantap lagi aman di bawah naungan dan pemeliharaan Allah," katanya.
Para jemaah seterusnya memohon, “Lanjutkan usia raja kami, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri, kerabat baginda, para hadirin dan rakyat sekalian, di dalam iman dan takwa, sihat afiat, aman makmur lagi sejahtera.
“Ya Allah, kami bermohon, supaya dikekalkan segala nikmat, yang kami dan negara sedang nikmati: nikmat iman, nikmat Islam, nikmat perpaduan, nikmat hidup harmoni, nikmat kemakmuran dan keadilan di bawah payung Allah di bumi, raja yang soleh lagi beriman".
Sebelum meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja menyambut mesra dengan berkenan menerima junjung ziarah daripada para jemaah yang hadir. Sudah menjadi kelaziman juga, setiap Majlis Kesyukuran ini akan mengagihkan Buku Yaa Siin bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM setiap tahun.
Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM pada tanggal 15 Julai merupakan Hari Cuti Kelepasan Awam di negara ini dan setentunya telah dirancang dengan acara-acara keraian seluruh daerah demi memeriahkan lagi Sambutan Hari Keputeraan raja yang kita kasihi. Dirgahayu Kebawah Duli Tuan Patik, Kekal karar memerintah negara di bawah inayah Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin.




