Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Julai. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) mengungkayahkan Program Jangkauan Pendidikan (Educational Outreach Programme-EOP) yang melibatkan lebih 800 pelajar daripada tiga sekolah menengah tempatan sepanjang Jun dan Julai 2025 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk memupuk bakat tempatan generasi akan datang di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Program tersebut dimulakan di Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 3 Jun 2025, diikuti dengan lawatan ke Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam (SMPIHM) pada 4 Jun 2025, dan berakhir di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan pada 7 Julai 2025.
Sebagai sebahagian daripada program tersebut, Hengyi Industries menyampaikan pembentangan menyeluruh yang memperkenalkan pelajar kepada Kumpulan Hengyi dan Hengyi Industries, termasuk gambaran keseluruhan operasinya dan transformasi Pulau Muara Besar, kepada kompleks petrokimia hari ini.
Pembentangan itu juga menyerlahkan peristiwa penting Projek Fasa I, pelbagai jenis produk penapisan yang dihasilkan, serta inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat, serta komitmen Hengyi Industries terhadap pemantauan dan perlindungan alam sekitar untuk memastikan operasi yang mampan dan bertanggungjawab.
Kemuncak pembentangan ialah Program Biasiswa dan Kolaborasi yang ditubuhkan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dan Politeknik Brunei.
Biasiswa tersebut menawarkan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, untuk kerjaya dalam industri petrokimia melalui pelbagai kursus, yang juga termasuk peluang yang dibiayai sepenuhnya untuk belajar di luar negara di institusi berprestij di Republik Rakyat China seperti Zhejiang University dan Lanzhou Petrochemical Polytechnic. Setelah berjaya menamatkan pengajian mereka, graduan ditawarkan peluang pekerjaan dengan Hengyi Industries.
Selepas pembentangan, para pelajar berpeluang bertanya soalan dan melibatkan diri dengan wakil Hengyi Industries dalam sesi soal jawab untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarikat, operasinya dan laluan biasiswa.
Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sedia Masa Depan Hengyi, program EOP mencerminkan komitmen syarikat untuk memberi inspirasi kepada pelajar bagi mempertimbangkan kerjaya dalam sektor petrokimia dan menggalakkan mereka untuk mengejar kecemerlangan teknikal dan akademik, mencerminkan visi syarikat, 'Kecemerlangan Dalam Membangunkan Petrokimia Melalui Inovasi dan Kelestarian Perniagaan'.