Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Sabtu, 5 Julai. - Seramai 19 murid Darjah 6 Sekolah Ugama Berakas Garison diraikan dalam satu Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan petang tadi bertempat di Dewan Sekolah Rendah Berakas Garison.
Majlis tersebut diadakan sebagai penghargaan atas kejayaan para pelajar menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran, di samping memupuk semangat mencintai dan menghayati Al-Quran sebagai panduan hidup.
Penganjuran majlis tersebut adalah antara usaha berterusan pihak Jabatan Pengajian Islam (JPI) dalam mendukung aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai sebahagian daripada amalan hidup beragama serta memperkukuh syiar Islam dalam kalangan pelajar sekolah ugama di negara ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kolonel Aldi bin Haji Hassan.
Acara kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim.
Manakala Doa Khatam dipimpin oleh Awang Muhammad Hamizan Shapawe bin Kamarulzaman.
Majlis turut diserikan dengan persembahan dikir dan diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta oleh tetamu kehormat majlis yang diiringi dengan menabur bunga rampai oleh para jemputan dan ibu bapa murid.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Haji Nor Eduan bin Haji Awang Duraman.