Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Julai. - Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Pelepasan Ekspedisi 79 Orang Pembawa Bendera Kecil NBD bagi Tahun 2025 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 bagi Tahun 2025 Peringkat Daerah Brunei dan Muara telah berlangsung di Entrance The Mall Gadong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 bagi Tahun 2025.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Kampung Kawasan 5, Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan, Awang Haji Hamidi bin Haji Abdul Wahid.
Setelah itu, majlis diteruskan dengan penyerahan bendera NBD kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Perayaan Daerah Brunei dan Muara, diikuti dengan pengagihan bendera-bendera dan penyampaian Sijil-sijil Penghargaan kepada Pengiran Haji Qahar bin Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basith selaku Ketua Ekspedisi dan para peserta ekspedisi, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap-setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara serta Ahli-ahli Jawatankuasa Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 bagi Tahun 2025 Peringkat Daerah Brunei dan Muara.