223 pegawai, kakitangan terima Pingat Kerja Lama



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas






BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Julai. - Pengurniaan Pingat Kerja Lama (P.K.L) adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan jasa kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat lebih daripada 20 tahun serta mengenang jasa dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam.


Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengadakan Majlis Penyampaian Pengurniaan P.K.L sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun bagi Tahun 2024, bertempat di Dewan Bankuet, Majlis Mesyuarat Negara, Jalan Dewan Majlis, di sini.


Hadir bagi menyempurnakan penyampaian pingat-pingat berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Md. Azrol Alim bin Haji Zaini dan diteruskan dengan penyampaian P.K.L oleh tetamu kehormat majlis.


Seramai 223 orang menerima P.K.L pada majlis tersebut, terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya termasuk pegawai dan kakitangan dari Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.


Penolong Penguasa Kastam di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Awang Azis bin Haji Matali ketika ditemui melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM atas pengurniaan pingat berkenaan.


Ini jelasnya, satu penghargaan kepada beliau yang selama ini berkhidmat dengan pihak kerajaan sejak tahun 1998. Dengan pengiktirafan berkenaan akan dapat lagi meningkatkan semangatnya untuk terus tekun berusaha dalam mempertingkatkan keupayaan produktiviti kerja dan seterusnya meningkatkan lagi prestasi pada masa akan datang.


Nasihatnya kepada pegawai dan kakitangan yang masih bertugas pada masa ini, adalah untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang serta menggunakan garis panduan etika kerja yang sedia ada untuk terus komited dan meningkatkan lagi mutu serta kualiti kerja, berkhidmat dengan jujur, amanah dan semangat berpasukan.


Seorang lagi penerima, Dayang Suryaty binti Haji Paun yang bertugas di Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, menyatakan perasaan amat gembira dan bersyukur atas pengurniaan pingat berkenaan yang mana ia merupakan pengiktirafan dan penghargaan daripada Kerajaan Kebawah DYMM atas jasa dan sumbangan bakti yang telah diberikannya sepanjang berkhidmat dalam kerajaan.


Dengan pengurniaan pingat ini tambahnya, ia adalah sebagai satu dorongan untuk lebih semangat menjalankan tugas dengan efektif, menyiapkan kerja dengan sempurna dan teliti dalam tempoh masa yang ditetapkan, selain berfikir secara kreatif dan memberikan idea-idea yang lebih inovatif untuk meningkatkan prestasi organisasi.


Beliau yang hampir 20 tahun berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah DYMM turut mengongsikan, setiap pegawai Perkhidmatan Awam perlu bersikap jujur, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai nilai komitmen serta dedikasi yang tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.


Selain itu, jelasnya, sentiasa mematuhi arahan ketua selagi tidak bertentangan dengan etika kerja.


Close