DPMM FC berpesta gol





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammed Marherman Hanaffi Haji Omar






BERAKAS, Jumaat, 4 Julai. - Liga Belia Brunei musim 2025/2026 bagi Kategori Bawah 18 Tahun (U18) membuka tirainya hari ini dengan menyaksikan pertemuan antara Dash FA menentang DPMM FC, pada aksi pembukaan yang berlangsung di Padang 'A', Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), di sini.


Dalam perlawanan penuh aksi tersebut, DPMM FC berpesta gol setelah mempersembahkan permainan yang dominan dengan meraih kemenangan 16 - 1.


Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Juga berangkat menyaksikan perlawanan tersebut, anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, iaitu  Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.


Turut menyertai  pasukan DPMM FC  ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, selaku Ketua Pasukan, yang juga menghadiahkan empat gol bagi pasukannya.


Lapan gol pada separuh masa pertama masing-masing dijaringkan oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim,  Yunus Poljarevic Emin Poljarevic,  Muhammad Hafiy Hakim Azizan, Muhammad Adi Idham Sazali dan Muhammad Akmal Rizal Muhammad Abu Bakar.


Manakala lapan gol lagi berjaya dijaringkan pada separuh masa kedua melalui  Muhammad Hafiy Hakim Azizan, Muhammad Adi Idham Sazali, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim,  Yunus Poljarevic Emin Poljarevic, Mohd. Darwishafis Mohd. Hamzillah, dan Md. Harith Aqil Azaman.


Walaupun diasak dengan serangan bertubi-tubi, Dash FA tetap menunjukkan semangat juang dan berjaya memperoleh satu jaringan  melalui Muhammad Izzulliwauddin Zararwasi Mohammad Sofian.


Sementara itu, Liga Belia Brunei U18 akan diteruskan Ahad ini, 6 Julai 2025 dengan menyaksikan empat perlawanan bakal berlangsung, iaitu pertemuan antara Muaz FT menentang Panchor Murai FC; FC Phosphor bertemu dengan Projek Ikan Pusu; Rimba Star FC menentang Wijaya FC dan BSRC akan bertemu dengan Dagang FT.


Close