Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.
MUARA, Khamis, 3 Julai. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) telah menganjurkan Pop-Up Market, yang menghimpunkan pelbagai jenis peniaga untuk para pekerjanya di Pulau Muara Besar.
Pop-Up Market tersebut menampilkan sebanyak 15 peniaga termasuk institusi kewangan, penyedia perkhidmatan telekomunikasi, agensi pelancongan dan penerbangan serta vendor makanan dan minuman Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.
Dengan matlamat untuk memberikan kemudahan akses kepada perkhidmatan dan produk penting kepada para pekerja, Pop-Up Market ini juga diadakan bagi menyokong vendor PMKS dengan menyediakan platform untuk memperkenalkan produk mereka dan mencapai khalayak yang lebih luas.
Acara ini turut mencerminkan komitmen berterusan Hengyi Industries terhadap pertumbuhan inklusif dan pemerkasaan tempatan, sejajar dengan visi syarikat dalam kecemerlangan dalam membangunkan petrokimia melalui inovasi dan kelestarian perniagaan.
Bersempena dengan Pop-Up Market, Hengyi Industries turut mengadakan Kempen Derma Darah Kali Ke-7. Kempen ini dianjurkan di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat, Hengyi Cares dan dijalankan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Secara keseluruhan, seramai 82 kakitangan Hengyi Industries telah menyertai kempen ini, menyumbang sebanyak 82 pain darah bagi membantu menambah stok bekalan darah negara.
Inisiatif berterusan ini mencerminkan komitmen Hengyi Industries terhadap kesejahteraan masyarakat dan kesihatan awam. Melalui penganjuran Kempen Derma Darah secara berkala, syarikat berhasrat untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma darah serta menyumbang kepada ketersediaan sumber perubatan penting bagi mereka yang memerlukan.