Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 Julai. - Jabatan Penjara Brunei mengadakan Ekspo Pameran dan Jualan Produk INSAF Jabatan Penjara sempena memperingati Penubuhan Jabatan Penjara Ke-71, Tahun 2025.
Ekspo ini akan berlangsung selama empat hari, bermula hari ini hingga 6 Julai 2025, bertempat di OneCity Shopping Centre, bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Rasmi bagi ekspo tersebut ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut. Turut hadir, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap KHEDN.
Ekspo Pameran dan Jualan Produk INSAF, Jabatan Penjara adalah merupakan projek tahunan Jabatan Penjara bersempena memperingati Penubuhan Jabatan Penjara.
Dalam ekspo berkenaan pelbagai produk-produk daripada Jabatan Penjara yang dihasilkan oleh banduan-banduan yang mengikuti program perusahaan di institusi-institusi Jabatan Penjara seperti Meja Sterika, Meja Bilik Tamu, Rak Serbaguna, set penyalaian dan sebagainya lagi.
Pada tahun-tahun lalu, Ekspo Pameran dan Jualan ini pernah diadakan di Dermaga Diraja, pusat-pusat membeli-belah seperti Times Square, Airport Mall, One Station dan Rimba Point dengan sokongan daripada pelbagai pihak bagi menjayakan ekspo tersebut.
Adapun tujuan Ekspo Pameran dan Jualan Produk Insaf Jabatan Penjara tersebut adalah memperkenalkan hasil produk perabot dan kraf tangan daripada para banduan yang mengikuti program pemulihan.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk membarigakan kepada masyarakat akan amalan pemulihan yang dilaksanakan khususnya melalui Latihan Vokasional dan Kemahiran di samping mendekatkan hubungan bersama masyarakat bagi menyokong dan bekerjasama dalam menjayakan program-program pemulihan di Jabatan Penjara.
Sebagai salah satu usaha dalam proses pengintegrasian semula Rakan Seliaan dalam masyarakat, ia juga dihasratkan dapat memberikan peluang kepada Rakan Seliaan untuk memperkenalkan produk-produk mereka kepada masyarakat.