Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
JERUDONG, Khamis, 3 Julai. - Sejak penubuhannya sebagai komponen Kolej SEAMEO pada tahun 2013 dan penubuhan rasminya pada Mac 2016, Rangkaian Penyelidikan Dasar (CPRN) Pusat SEAMEO telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kerelevanan dan kepekaan Pusat-pusat SEAMEO dan Sekretariat terhadap keperluan penyelidikan dasar oleh para pemimpin pendidikan di Asia Tenggara.
Perjalanan ini ditandai dengan pencapaian penting dan aktiviti penyelidikan yang memberi impak besar.
Daripada meneroka penerapan biodiversiti dalam pendidikan alam sekitar seperti yang ditunjukkan oleh SEAMEO BIOTROP, hinggalah menangani isu-isu kritikal dalam pendidikan STEM, Pusat-pusat SEAMEO telah giat menjalankan pelbagai penyelidikan.
“Aktiviti penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan ini bukan sekadar usaha akademik semata-mata; ia merupakan sumbangan penting yang memaklumkan dasar, membentuk amalan pendidikan dan akhirnya meningkatkan kualiti hidup jutaan orang di rantau ini.
“Penyelidikan ini mencerminkan hakikat peranan kolektif kita sebagai badan pemikir serantau, yang secara proaktif menjalankan penyelidikan yang boleh dipercayai dan sahih, sejajar dengan dan sering kali mendahului arus pembangunan".
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Presiden Majlis SEAMEO menyatakan perkara tersebut semasa berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak CPRN Pusat SEAMEO yang berlangsung di The Empire Brunei, di sini.
Sidang Kemuncak ini, jelas Yang Berhormat, menjadi platform untuk mengetengahkan penyelidikan-penyelidikan yang menyentuh inti pati amalan serantau, berlandaskan realiti dan ditujukan kepada perubahan yang boleh dilaksanakan.
“Saya gembira bahawa perbincangan dalam Sidang Kemuncak tahun 2024 telah meletakkan asas yang kukuh, dengan menekankan bahawa keterangkuman bukan sekadar suatu keperluan moral tetapi satu keperluan strategik untuk membina Asia Tenggara yang benar-benar bersedia menghadapi masa depan.
“Semangat untuk menghayati keterangkuman inilah yang kita bawa ke Sidang Kemuncak tahun ini, ketika kita berusaha membina jambatan yang lebih kukuh ke arah masa depan yang lestari," terang Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat berkata, Sidang Kemuncak tahun ini akan menampilkan Sesi Perbincangan Penyelidikan Dasar Bersama, untuk memudah cara dan menjana cadangan tajuk penyelidikan dasar, dengan matlamat untuk merangka hala tuju yang jelas bagi penyelidikan yang dijalankan oleh Pusat-pusat SEAMEO.
Fokus sesi ini adalah untuk berkongsi idea, mengenal pasti halangan, mengemukakan cadangan dan menentukan langkah-langkah seterusnya.
Sesi ini, jelas Yang Berhormat, merupakan langkah penting bagi SEAMEO kerana dengan menyelaraskan usaha merentasi tiga tonggak utama, pendidikan, sains dan budaya dan menggabungkan kepakaran kolektif, kita akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menangani isu-isu mendesak masa kini serta bersedia menghadapi cabaran-cabaran yang bakal muncul.
“Ketika kita memulakan perbincangan dan kerjasama dalam Sidang Kemuncak SEAMEO CPRN 2025 ini, marilah kita ingat akan tanggungjawab besar dan peluang yang terbentang di hadapan kita. Kita bukan sekadar penyelidik, kita adalah pembina jambatan, pemangkin inovasi dan ejen perubahan.
“Dengan memupuk kerjasama yang inklusif dan menghayati inovasi dalam pendidikan, sains dan budaya, kita mampu bersama-sama membina masa depan yang lestari untuk Asia Tenggara.
“Saya yakin bahawa Sidang Kemuncak ini akan menghasilkan perbincangan yang bermanfaat, memupuk kerjasama baharu dan mengilhamkan penyelidikan yang inovatif yang akan menyumbang secara signifikan kepada pencapaian Pelan Strategik SEAMEO 2021 - 2030 dan akhirnya, kepada peningkatan kualiti hidup untuk semua di rantau kita yang tercinta," ujar Yang Berhormat Menteri Pendidikan.