Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BERAKAS, Rabu, 2 Julai. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah dan Doa Kesyukuran Jemaah Haji bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi bertempat di Dewan Amar Pahlawan MTIC, di sini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunkasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) MTIC, Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Awang Haji Mohammad Asyraf bin Haji Bujang, diikuti dengan Ceramah Khas sempena Sambutan Ilal Hijrah bertajuk 'Hijrah Kecil Yang Memberi Impak Besar' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Dalam ceramahnya, beliau menyatakan bahawa apabila seseorang itu istiqamah dan konsisten dalam melaksanakan kewajipan dan amal ibadah, maka akan nampak impak dan kesannya terhadap diri mereka.
Awang Mohammad Nasyith juga mengongsikan, antara cara untuk memperbaiki diri adalah dengan melazimi taubat iaitu dengan beristighfar bagi membersihkan hati.
Selain itu, tambahnya, menjaga sembahyang fardu lima waktu, memperbanyakkan membaca Al-Quran serta melazimi zikir, selawat dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Majlis turut diserikan dengan bacaan Dikir Asyraqal dan Doa Kesyukuran sempena kepulangan 12 jemaah haji daripada kalangan pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis tahun ini yang dikelolakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) merupakan antara aktiviti tahunan keagamaan MTIC yang bertujuan untuk memperingati dan menyemarakkan Sambutan Awal Muharam serta meraikan kepulangan warga MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya yang telah selamat kembali ke tanah air daripada menunaikan ibadah haji tahun ini.