Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
JERUDONG, Rabu, 2 Julai. - Seramai 132 pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah Arab dan ugama seluruh negara diraikan dalam satu majlis penuh penghargaan, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pelajar-pelajar dalam bidang akademik.
Majlis anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, pagi tadi itu merupakan salah satu langkah ke arah menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Majlis Penghargaan tersebut adalah untuk meraikan pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dan membanggakan dalam peperiksaan awam yang telah diduduki pada tahun 2024.
Majlis juga diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan sebagai insentif kepada pelajar-pelajar yang diraikan atas kecemerlangan yang dicapai, di samping sebagai motivasi kepada pelajar-pelajar lain supaya akan terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.
Selain itu juga, ia bertujuan membarigakan kepada masyarakat mengenai kecemerlangan akademik yang dicapai oleh pelajar-pelajar persekolahan ugama dan Arab dalam bidang-bidang agama, bahasa Arab dan umum.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Ahmad Harith Irfan bin Haji Umardani dan Shaikh Mumtaz Al-'Abqariyy bin Shaikh Muhammad Khairul Anuar.
Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pemangku Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil selaku Pengerusi Majlis.
Majlis turut diserikan dengan Persembahan 'Kalam Jamaie' daripada pelajar-pelajar Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit, diikuti dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang, guru-guru cemerlang dan Madrasah Mutaqaddimah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan.