Berita dan Foto : Ihsan HLHA Family
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 30 Jun. - Dalam sama-sama memeriahkan kedatangan Awal Tahun Baharu Hijrah 1447 serta menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam, Pertandingan Khemah Bercucul diadakan di kawasan Kampung Kuala Lurah, Mukim Pengkalan Batu, baru-baru ini.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Baitul Rahmah & Diman Houz ini memberi peluang kepada penyertaan Ahli-ahli HLHA Family.
Sebanyak tujuh buah khemah menyertai Pertandingan Bercucul ini dengan tema berlainan iaitu 'Maritah Bedudun', 'Kampung Dusun', 'Gua Pak Maun', 'Taman Cahaya', 'Santai', 'Taman Syurgawi' dan 'Dentuman Takdir'.
Pada pertandingan ini Kampung Dusun dinobatkan sebagai juara pertandingan dengan membawa pulang hadiah wang tunai BND100, manakala tempat kedua disandang oleh Taman Syurgawi dengan membawa pulang wang tunai BND70 dan ketiga dimenangi oleh Dentuman Takdir dengan membawa pulang wang tunai BND50.
Menurut pengendali pertandingan, Dayang Hajah Nurul Aina binti Haji Lamit, pertandingan ini bertujuan untuk sama-sama menyemarakkan dan memeriahkan kedatangan Awal Tahun 1447H bersama ahli-ahli keluarga di samping untuk memupuk silaturahim dan dapat berkumpul dalam suasana yang ceria.