14 pelajar tamat pengajian di Universiti Zhejiang




Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.






BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Jun. - Seramai 14 mahasiswa dan mahasiswi di bawah Program Biasiswa Bersama Hengyi Industries Sdn. Bhd. dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah diraikan hari ini sempena kejayaan mereka menamatkan pengajian di Universiti Zhejiang (ZJU) yan g berlangsung di sebuah Majlis Graduasi di Hangzhou, China, baru-baru ini.


Pada majlis tersebut, para pelajar telah menerima sijil tamat pengajian, menandakan kejayaan menamatkan 18 bulan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses di ZJU. Kumpulan ini merupakan kumpulan 11 yang menerima biasiswa di bawah program tersebut.


Program Biasiswa Bersama UBD-ZJU ditubuhkan melalui kerjasama antara Hengyi Industries, UBD dan ZJU bagi membangunkan bakat masa depan negara dalam bidang petrokimia dan kejuruteraan proses.


Program ijazah selama empat tahun ini merangkumi pengajian akademik yang dibiayai sepenuhnya di ZJU, di mana para pelajar dilengkapi dengan kemahiran teknikal yang penting serta perspektif global, bagi mempersiapkan mereka menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan dan pembangunan Negara Brunei Darussalam (NBD).


Dengan tamatnya pengajian mereka di ZJU, para pelajar akan meneruskan tahun akhir pengajian mereka di UBD. Ini termasuk latihan industri bersama Hengyi Industries di kompleks petrokimia Pulau Muara Besar, yang memberikan pengalaman secara langsung dalam persekitaran operasi sebenar.


Setelah berjaya menamatkan pengajian, para pelajar akan ditawarkan peluang pekerjaan bersama Hengyi Industries.


Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Hengyi Future-Ready di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), biasiswa bersama ini bertujuan untuk memupuk bakat tempatan dengan pengetahuan dan keupayaan yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa depan dalam industri petrokimia.


Sehingga kini, seramai 202 pelajar daripada 12 kumpulan telah menerima biasiswa ini, dengan 135 orang daripadanya berjaya menamatkan pengajian dan kini menyumbang kepada syarikat sebagai pekerja sepenuh masa di Hengyi Industries.


Close