NBD memiliki koleksi monumen Islam terkaya, terawal di Asia Tenggara



​​


Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman






BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Jun. - Hari kedua Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 memperdengarkan sebuah pembentangan bertajuk 'Islamic Writing Traditions of Brunei Darussalam : On Stone, Metal and Paper'.


Pembentangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Bahagian Asia Tenggara, The British Library, London, Yang Berbahagia Dato' Dr. Annabel Teh Gallop, di Dewan Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada sesi pembentangan berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.


Dalam pembentangannya, Yang Berbahagia Dato' Dr. Annabel Teh Gallop antara lain menerangkan bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) merupakan salah satu negeri yang paling menarik dalam dunia Melayu.


NBD tambahnya, memiliki salah satu koleksi monumen Islam terkaya dan terawal di Asia Tenggara.


Menurutnya lagi, bukti terawal penulisan Islam di NBD terdapat pada batu nisan di mana batu nisan NBD merupakan contoh inskripsi bahasa Melayu tertua dalam tulisan Arab di seluruh Asia Tenggara, sekali gus ia merupakan sumber unik yang bernilai untuk kajian awal bahasa Melayu dalam tulisan Jawi.


Selain itu jelasnya, manuskrip kertas tertua dari NBD ialah daripada Sultan Brunei kepada Kerajaan Sepanyol di Manila.


Pada penghujung abad ke-19 pula tambahnya, menyaksikan kemunculan barangan tembaga dengan tulisan Jawi yang merupakan gantang rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan NBD.


Selepas pembentangan berkenaan, para peserta juga berpeluang menyertai sesi soal jawab bersama Yang Berbahagia Dato' Dr. Annabel Teh Gallop.


Yang Berbahagia Dato' Dr. Annabel Teh Gallop dilahirkan di Winchester pada 5 Ogos 1961 dan dibesarkan di NBD. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Matematik dari University of Bristol (1982), diikuti dengan Ijazah Sarjana dengan kepujian tinggi dalam Pengajian Indonesia dan Melayu dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London (1985).


Beliau kini menjawat jawatan sebagai Ketua Kurator, Bahagian Asia Tenggara di British Library, London dan merupakan pakar terkemuka dalam bidang manuskrip Melayu, cap mohor Islam, serta budaya material dunia Islam di Asia Tenggara.


Sejak 1986, beliau berkhidmat di British Library dan bertanggungjawab dalam menyelenggara koleksi Asia Tenggara yang tersohor di peringkat antarabangsa.


Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 bertemakan 'Manuskrip Islam : Jambatan Antara Masa Lalu dan Masa Depan' diadakan dari 21 hingga 24 Jun 2025 dan dianjurkan oleh BKISHHB dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).


Ia juga diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2025 (Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2025 - Brunei MYCE 2025).


Persidangan berkenaan antara lain diadakan adalah untuk memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan manuskrip Islam sebagai jambatan yang menghubungkan warisan intelektual dan budaya dari masa lalu dengan masa hadapan umat Islam.

Close