Siaran Akbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Jun. - Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad, seorang cendekiawan undang-undang yang terbilang dan berwibawa, berasal dari Lucknow, India telah diiktiraf di peringkat antarabangsa atas sumbangan ilmiahnya yang besar dalam bidang perundangan.
Beliau kini berkhidmat sebagai Profesor Kanan Undang-undang di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Negara Brunei Darussalam (NBD).
Dalam Edisi 2025 AD Scientific Index, Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad telah disenaraikan sebagai individu ke-10 terbaik di dunia dalam bidang Undang-undang dan Pengajian Perundangan berdasarkan h-index.
Beliau juga menduduki tempat pertama di Asia serta merupakan ahli akademik dengan kedudukan tertinggi merentas semua bidang di NBD.
Sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlangnya, Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad telah dianugerahkan Anugerah Guru Cemerlang (Teacher Excellence Award) pada tahun 2024 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2025, beliau telah menerima Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (Research Excellence Award), sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai seorang cendekiawan yang unggul dan berwibawa.
Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad juga telah menghasilkan lebih daripada 300 penerbitan penyelidikan dan lebih daripada dua dozen buah buku.
Karya ilmiahnya memberi impak besar terhadap pelbagai keputusan kehakiman, termasuk di Mahkamah Tinggi Malaysia, Mahkamah Agung Wilayah Ibu Negara Australia (Supreme Court of the Australian Capital Territory, Canberra) dan Mahkamah Agung India.
Selain itu, hasil penyelidikannya juga turut dijadikan sebagai rujukan dalam pelbagai inisiatif dasar utama oleh Suruhanjaya Eropah (European Commission) dan Jawatankuasa Khas Parlimen Eropah mengenai Bitcoin (European Parliament's Special Committee on Bitcoin).
Di luar lingkungan mahkamah dan forum perundangan, sumbangan akademik Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad turut dipetik serta digunakan sebagai rujukan oleh ahli-ahli akademik daripada beberapa institusi terkemuka di dunia, termasuk University of Oxford, Yale University, University of Cambridge, dan Cornell University serta pelbagai institusi lain.
Dengan kerjaya akademik yang cemerlang yang merentasi India, Tanzania, Malaysia, Singapura, dan lebih daripada 15 tahun berkhidmat di NBD, Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pakar terkemuka dalam pendidikan dan penyelidikan undang-undang di peringkat antarabangsa.