Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Jun. - Kepulangan jemaah Haji setentunya dinantikan oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai, menandakan kesyukuran atas sempurnanya mengerjakan ibadah Haji.
Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Penerbangan Pertama yang menggunakan pesawat Diraja Brunei (RB) BI4222 telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada pukul 5.07 petang tadi.
Jumlah keseluruhan jemaah haji termasuk pegawai-pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan), Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd, (DSSB), Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn. Bhd. (SCA), dan Syarikat Raudah Al-Amin Sendirian Berhad ialah seramai 252 orang.
Hadir mengalu-alukan ketibaan jemaah haji NBD di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Buraithin.
Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin; Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, DCP Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan Datin; Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Haji Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd Karim; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, JPM, Dr Awang Norfarizal bin Othman serta ahli-ahli jemaah penasihat haji, pengarah-pengarah dan penolong-penolong pengarah KHEU.
Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Awang Haji Haris bin Haji Suboh.