Majlis Ibadah Korban terus disemarakkan





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Muhamamd Asri Haji Awang Abas






 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Jun. - Melakukan ibadah korban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam ajaran Islam yakni sunat muakkad bagi orang-orang yang mampu melakukannya, bermula selepas Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha hingga membawa ke Hari-hari Tasyrik, 11, 12 dan 13 Zulhijah.


Pada hari-hari tersebut, laungan-laungan takbir dan tahmid memuji kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala masih bergema dan majlis-majlis ibadah korban masih diadakan oleh pelbagai agensi kerajaan, swasta, persatuan mahupun perseorangan.


Dalam sama-sama menyemarakkan hari kebesaran Islam ini, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Ibadah Korban yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.


Majlis pada tahun ini adalah anjuran bersama Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Bahagian Perolehan serta Bahagian Pengurusan Estet dan Perkembangan Projek, Kementerian Kesihatan.


Hadir selaku tetamu kehormat Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan isteri.


Sebanyak lima ekor kerbau telah dikorbankan dan diagih-agihkan kepada 96 orang yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan dalam Bahagian V.


Pengagihan daging-daging korban tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat dan isteri.


Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Ghari; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusof; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Mohd. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, Ketua-ketua Jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.


Close