41 asnaf, fakir miskin terima agihan daging korban





Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Azmah Haji Ahad, Ihsan Masjid Kampung Kilanas






 

KILANAS, Isnin, 9 Jun. - Seramai 41 penerima dari kalangan asnaf dan fakir miskin Kampung Kilanas pagi tadi menerima agihan daging korban dalam Majlis Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di perkarangan Masjid Kampung Kilanas, di sini.


Majlis yang dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas dan Jemaah Masjid Kampung Kilanas berkenaan turut menyaksikan penyertaan seramai 28 peserta korban, terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid berkenaan, yang telah bersama-sama menjayakan penyembelihan sebanyak empat ekor kerbau.


Hadir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian daging korban ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.


Atur cara dimulakan dengan kehadiran petugas dan sukarelawan yang melaksanakan kerja-kerja pemotongan serta pembungkusan daging mengikut senarai pendaftaran peserta.


Turut menyemarakkan suasana ialah persembahan tausyeh oleh Belia-belia Masjid Kampung Kilanas.


Majlis turut diserikan dengan Perasmian Wakaf Van Jenazah bagi Masjid Kampung Kilanas. Penyerahan replika kunci kenderaan tersebut telah disempurnakan oleh wakil pewakaf kepada Yang Berhormat Menteri, sebelum diserahkan kepada wakil masjid sebagai simbolik penerimaan rasmi.


Yang Berhormat kemudiannya menabur bunga rampai ke van jenazah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan yang amat bermakna kepada komuniti.


Acara juga diisikan dengan bacaan doa selamat, takbir Hari Raya Aidiladha, serta bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Imam Masjid Kampung Kilanas, Awang Mohd. Redzuan bin Haji Marzuki selaku Pengerusi Majlis, yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.


Program berkenaan bukan sahaja melaksanakan tuntutan agama, bahkan untuk membantu dan memudahkan penduduk kampung untuk melaksanakan Ibadah korban dengan lebih sempurna dan teratur, selain untuk menggalakkan masyarakat kampung untuk mengimarahkan masjid dan sekali gus memupuk semangat kerjasama dan merapatkan silaturahim antara penduduk di Kampung Kilanas dan sekitarnya.


Close