Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BERAKAS, Isnin, 9 Jun. - Pertubuhan WARGAMAS mengadakan Majlis Pengagihan Ibadah Qurban bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama, di sini.
Seramai 70 fakir miskin dan 63 peserta ibadah korban menerima pengagihan daging korban tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging kepada para penerima ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan datin.
Yang Di-Pertua Pertubuhan WARGAMAS selaku Pengerusi Majlis, Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don, dalam ucapan alu-aluan berkata, tujuan berkorban adalah untuk mendekatkan diri atau bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Jelasnya, salah satu hikmah berkorban adalah untuk meneladani hikmah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam dalam menjalankan perintah Allah dengan keikhlasan, kesabaran, ketaatan dan ketakwaan.
Dalam konteks zaman teknologi ini, ujarnya, ibadah korban tetap relevan sebagai pengingat pentingnya solidariti dan kepedulian sosial.
Beliau menambah, di tengah pelbagai tentangan sosial dan ekonomi, semangat korban menjadi jambatan untuk sama-sama membantu dan mempererat persaudaraan umat.
“Semoga pengertian yang tersurat dan tersirat di sebalik ibadah korban ini menjadi panduan berguna untuk 'kitani' membina kekuatan bagi menjejaki kehidupan yang lebih baik, mulia dan sejahtera serta akan membawa kebahagiaan rohani dan jasmani kepada setiap individu," katanya.
Pada tahun ini sebanyak sembilan ekor kerbau dikorbankan oleh Pertubuhan WARGAMAS.