Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam
TUNGKU LINK, Selasa, 3 Jun. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) selaku Sekretariat bagi Saintifik Rangkaian Kajian Borneo (Borneo Studies Network - BSN) telah menganjurkan Persidangan BSN Ke-3 yang berlangsung di UBD.
Persidangan tahun ini bertemakan 'Smart City Transformation, Biodiversity, and Green Supply Chain in Borneo', selaras dengan usaha global ke arah pembangunan mampan dan daya tahan iklim.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle yang juga merasmikan persidangan ini.
Terdahulu, acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan, Dr. Joyce Teo Siew Yean juga merangkap Penolong Naib Canselor (Jalinan Global) UBD.
Dr. Joyce Teo menekankan bahawa tema persidangan tahun ini menggambarkan komitmen kolektif BSN terhadap inovasi, pemeliharaan alam sekitar dan pertumbuhan hijau.
Perbincangan daripada Persidangan BSN Ke-3 ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada idea-idea baharu demi masa depan mampan bagi rantau ini.
Persidangan yang diadakan bermula hari ini hingga 4 Jun menghimpunkan para akademik, wakil universiti, golongan profesional dan pegawai kerajaan dari seluruh rantau, mewujudkan satu platform kolaboratif untuk meneroka strategi transformasi serta peluang masa depan bagi Borneo.
Tema yang dipilih mencerminkan keutamaan global dan potensi unik Borneo untuk menjadi peneraju dalam bidang kelestarian. Ia akan menekankan integrasi inovasi bandar pintar, pemeliharaan kepelbagaian biologi, serta pembangunan rantaian bekalan hijau-bidang utama yang penting dalam menangani cabaran semasa.
Perbincangan ini juga secara langsung menyokong lima Kluster Penyelidikan BSN iaitu Kepelbagaian Biologi Borneo; Warisan Budaya dan Kumpulan Etnik Borneo; Komuniti Mampan dan Transformasi Borneo; Sains Bahan Boleh Diperbaharui dan Tenaga Borneo serta Ekonomi dan Perniagaan Borneo.
Persidangan ini bertujuan untuk menggerakkan para sarjana, penyelidik, pelajar dan golongan profesional untuk berkongsi pengetahuan serta penemuan penyelidikan yang berkaitan dengan kluster-kluster ini. Dengan pendekatan ini, para peserta akan mengenal pasti strategi bagi memanfaatkan kepakaran dan sumber secara kolektif.
Hasil yang dijangkakan akan menyumbang kepada pembangunan aplikasi lestari dan penyelesaian pintar untuk masa depan rantau ini.
Acara dua hari ini menampilkan tiga ucaptama dan beberapa sesi selari yang merangkumi pelbagai sub-tema, termasuk Ekonomi Mampan (Circular Economy); Bahan dan Tenaga Bersih; Kepelbagaian Biologi; Pembangunan Bandar Lestari dan Urbanisme Biru; Transformasi Mampan dan Daya Tahan Iklim.
Vice-Provost (Strategic Enrolment), University of New Brunswick (UNB), Kanada, Profesor Michel Rod dalam ucaptamanya menawarkan perspektif yang mencetuskan pemikiran mengenai peranan ekonomi kitaran di Borneo dan rantau yang lebih luas.
Profesor Michel Rod menekankan kepentingan Konsep Bricolage, iaitu pendekatan yang memberi tumpuan kepada penggabungan semula sumber sedia ada untuk menangani masalah dan memanfaatkan peluang.
Sementara, Pengasas dan Rakan Kongsi di ASJ Global, Solomon Chang dalam ucapannya bertajuk Smart City Transformation, Biodiversity, and Green Supply Chain in Borneo : The Importance of Carbon Credits, beliau meneroka bagaimana mekanisme kewangan karbon dapat mendorong transformasi ekonomi mampan.
Solomon Chang menekankan dua jenis Carbon Credit iaitu pengelakan (avoidance) dan penyingkiran (removal) yang masing-masing berperanan untuk mengelakkan pelepasan gas rumah hijau dan menyingkirkan karbon dioksida (CO₂) daripada atmosfera.
Canselor Universitas Balikpapan, Profesor Dr. Ir. M. Isradi Zainal membincangkan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Indonesia, yang dirancang sebagai bandar hijau, berasaskan hutan, dan neutral karbon menjelang tahun 2045.
BSN merupakan kerjasama antarabangsa antara institusi penyelidikan yang memberi tumpuan kepada Borneo. Ia memudahkan kolaborasi merentas institusi antara universiti dan pusat penyelidikan di seluruh pulau ini. Buat masa ini, rangkaian ini terdiri daripada 13 universiti tetap sebagai ahli dari seluruh Borneo.
Untuk maklumat lanjut mengenai Rangkaian Kajian Borneo, boleh layari 'https://borneostudies.org'.