Siaran Akhbar dan Foto : Yakin Football League
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Mei. - Kasuka Ar Rawda berjaya menjulang piala Brunei Elite Futsal League (BEFL) 2024/2025 sekalipun tewas 3 - 5 kepada pencabar terdekat, Almerez HiTUNE FC pada perlawanan terakhir liga berkenaan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Sekalipun hampa di penghujung perlawanan, pasukan didikan jurulatih Wahyu Triyanto berkenaan tetap berpesta apabila kekal berada di puncak liga dengan 37 mata hasil 12 kali kemenangan dan sekali seri untuk membawa pulang piala, cek berupa wang tunai dan pingat selaku pasukan juara.
Penyampaian hadiah kepada pasukan juara disempurnakan oleh Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei (FABD), Pengiran Haji Kamarunsalehin bin Pengiran Haji Kamis, pada Majlis Penutup Kejohanan BEFL edisi 2024/2025.
Sementara, Pengerusi Yakin Football League, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang menyampaikan piala naib juara kepada Almerez HiTUNE FC.
Manakala, Shah United yang berada di tangga ke-3 telah menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HiTUNE Group of Companies, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd. Jeffrey.
Majlis Penutup Kejohanan juga menyaksikan kemeriahan berterusan oleh penyokong Kasuka Ar Rawda apabila dua pemain, iaitu Awang Nur Syafiq Aiman Salmizan menerima anugerah 'Pemain Muda Terbaik', manakala Awang Abdul Azim Abdul Rahman pula dipilih selaku penerima anugerah 'Penjaga Gol Terbaik'.
Sementara itu, pemain bintang Almerez HiTUNE FC, Abolfazl Minouel Hussein menerima anugerah 'Pemain Terbaik', manakala pemain lincah kelahiran Thailand yang menyarungi jersi Shah United, Ridwan Awabuesa menjulang piala 'Penjaring Terbanyak' liga.
Manakala, Arbisyam FC yang berada di kelompok bawah BEFL pula menerima anugerah 'Fair Play'.
Pemangku Presiden FABD, Pengiran Haji Kamarunsalehin bin Pengiran Haji Kamis mengisytiharkan bagi penutupan kejohanan Brunei Futsal League 2024/2025 selepas kejohanan yang dianjurkan dengan jayanya oleh Yakin Football League dan telah disokong oleh FABD.