Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
GENEVA, SWITZERLAND, Ahad, 18 Mei. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan Komanwel Ke-37 (37th Commonwealth Health Ministers Meeting - CHMM37), pada 17 Mei 2025 di Geneva, Switzerland.
Turut menghadiri mesyuarat tersebut, Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Hajah Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan Menteri-menteri Kesihatan, perwakilan dan pegawai kanan dari Negara-negara Komanwel untuk membincangkan kerjasama dalam pembiayaan untuk kesihatan yang lebih inovatif dan mampan.
Perbincangan menumpukan dalam pengukuhan sistem kesihatan dan memastikan akses yang adil dan saksama kepada perkhidmatan kesihatan dalam kalangan negara anggota, sesuai dengan tema mesyuarat tahun ini, iaitu 'Melabur dalam Kesihatan : Pembiayaan Mampan untuk Komanwel yang Saksama' (Investing in Health : Sustainable Financing for an Equitable Commonwealth).
Pembiayaan mampan dalam sektor kesihatan amat penting untuk membina sistem yang berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi jangka panjang. Pelaburan dalam penjagaan kesihatan tidak seharusnya dilihat sebagai perbelanjaan semata-mata, tetapi sebagai asas kritikal kepada kemajuan negara.
Seterusnya, isu kewangan yang tidak mencukupi mendatangkan risiko untuk menjejaskan kemajuan-kemajuan pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage - UHC) dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) berkaitan kesihatan.
Untuk mengatasi cabaran berkenaan, model pembiayaan dan pendekatan inovatif diperlukan melalui pendekatan yang lebih bersepadu kepada pengukuhan sistem kesihatan berasaskan penjagaan kesihatan asasi dan kesihatan awam.
Antara cabaran utama yang dibincangkan termasuk penyakit tidak berjangkit (Non Communicable Diseases - NCD), kesihatan mental, ketahanan terhadap perubahan iklim dan inisiatif penyesuaian merentas sistem kesihatan, pelaburan dalam pencegahan untuk menyokong penuaan yang sihat dan pemanfaatan teknologi digital bagi peningkatan ekuiti.
Antara lain, mesyuarat berkenaan berhasrat menghasilkan komitmen bersama Komanwel antaranya mengenai pembiayaan kesihatan yang mampan yang saksama, pengukuhan tindakan global terhadap NCD dan kesihatan mental, membimbing pelaburan yang membina dan mengukuhkan kapasiti sistem kesihatan sebagai sebahagian daripada pakej asas perkhidmatan kesihatan, dan berkongsi kemajuan dalam pelaksanaan tindakan yang dipersetujui di mesyuarat peringkat tinggi seterusnya.
Pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah pun menyatakan komitmen Kerajaan NBD terhadap UHC melalui sistem kesihatan dengan memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang tidak membebankan kewangan rakyat.
Walau bagaimanapun tambah Yang Berhormat lagi, seperti kebanyakan ahli Komanwel yang lain, NBD juga menghadapi cabaran termasuk peningkatan kos penjagaan kesihatan, peralihan demografi, peningkatan beban NCD, dan keperluan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan kepakaran.
Dalam menghadapinya, Yang Berhormat mengongsikan NBD terus mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan asasi dan mempraktikkan pendekatan dasar Health-in-All Policies di samping meneroka mekanisme pembiayaan inovatif yang boleh melengkapkan sistem kesihatan awam tanpa menjejaskan kesaksamaan (equity).
Selain itu jelas Yang Berhormat lagi, kerajaan terus melabur dalam tenaga kerja kesihatan melalui perancangan dan penyediaan peluang latihan, serta memanfaatkan teknologi solusi kesihatan digital bagi meningkatkan kecekapan, capaian perkhidmatan dan hasil pesakit (patient outcomes).
Mesyuarat diakhiri dengan persetujuan untuk meluluskan Kenyataan CHMM37 yang menggariskan dasar - dasar utama, cadangan dan komitmen Negara Anggota Komanwel.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berada di Geneva juga berkesempatan membuat perjumpaan bersama Sekretariat Agung Komanwel, Puan Yang Terutama Shirley Ayorkor Botchwey, yang telah dilantik baru-baru ini.