Teroka bidang latihan, pembangunan kompetensi berkaitan AI



​​


Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Azmah Haji Ahad





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mei. - Warga penjawat awam merupakan pemimpin dan pemangkin perubahan yang akan menentukan hala tuju Perkhidmatan Awam negara kita dan secara langsung menyumbang kepada memelihara kesejahteraan rakyat dan penduduk amnya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menjelaskan, ini mustahak kerana dunia hari ini terus bergerak pantas dengan cabaran-cabaran yang dibawanya menjadi semakin kompleks.


Menurut Yang Berhormat, malah ketidaktentuan dan perubahan pesat ini turut menuntut kepimpinan (leadership) untuk lebih responsif, inovatif dan berintegriti.


“Ia juga perlu digandingi dengan keupayaan dalam membuat jangkaan masa hadapan berdasarkan analisis trend semasa, memahami pelbagai kemungkinan masa depan dan merancang strategi yang boleh mengadaptasi kepada pelbagai senario," ujar Yang Berhormat pada Majlis Penyampaian Sijil Bagi Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kali Ke-31, Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kali Ke-35 dan Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort-9 yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, di sini.


Menyentuh tentang keupayaan dalam membuat jangkaan masa hadapan ini, Yang Berhormat melihat kepentingan dan impaknya dari beberapa sudut iaitu pertama, ia mendorong kepada penggubalan dasar yang berdaya tahan yang juga merupakan tunjang utama dalam pentadbiran semasa.

Yang Berhormat menjelaskan, dengan mengambil kira kemungkinan perubahan dalam landskap sosial, ekonomi dan teknologi untuk tempoh jangka panjang akan dapat mengelakkan risiko membangunkan dasar yang akan ketinggalan zaman sebelum sempat dilaksanakan sepenuhnya.

Kedua, jelas Yang Berhormat, menerusi jangkaan masa depan yang pragmatik, akan dapat membantu dalam penggunaan sumber secara optimum dan mengelakkan pembaziran daripada pelaksanaan projek-projek yang tidak mampan atau tidak relevan.

 

Ketiga, tambah Yang Berhormat, kemampuan untuk mengenal pasti risiko-risiko baharu yang mungkin timbul akan membantu Perkhidmatan Awam untuk lebih bersedia dalam menghadapi krisis dengan lebih berkesan.


Yang Berhormat menjelaskan, ini perlu terutamanya dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan-perkhidmatan teras menerusi kebolehupayaan dalam merancang kerahan tenaga kerja dengan lebih teratur.


“Dan akhir sekali, menerusi kefahaman mengenai jangkaan aliran masa depan akan mendorong Perkhidmatan Awam untuk lebih proaktif dalam meneroka dan melaksanakan inovasi, iaitu bukannya bersifat pasif dan bertindak secara reaktif," ujar Yang Berhormat.


Berdasarkan kepada perkara-perkara tersebut kata Yang Berhormat lagi, mengingatkan kita betapa kepimpinan masa kini bukanlah sahaja tertumpu kepada penyelesaian masalah semasa, malah merangkumi keupayaan untuk melihat jauh ke hadapan pada memastikan kelangsungan pelaksanaan keutamaan-keutamaan negara selaras masa depan yang kita aspirasikan bersama.


“Di sinilah juga perlunya bagi Perkhidmatan Awam itu bersifat adaptif terhadap perubahan yang berlaku dalam landskap sektor awam yang kian mencabar".


“Ini termasuklah keterbukaan kepada pendekatan pengurusan moden lebih-lebih lagi dalam memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi digital masa ini yang sering diperkatakan misalnya Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang berupaya mentransformasi penyampaian perkhidmatan dengan lebih pantas, efisien dan responsif," ujar Yang Berhormat.


Ke arah ini, Yang Berhormat menyarankan agar pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bersama Institut Perkhidmatan Awam untuk terus meneroka dan memperluaskan bidang-bidang latihan dan pembangunan kompetensi berkaitan AI ini bagi warga Perkhidmatan awam.


Tambah Yang Berhormat, inisiatif ini perlu merangkumi program-program komprehensif yang meliputi pemahaman asas, kemahiran teknikal dan aplikasi praktikal teknologi AI dalam konteks pentadbiran kerajaan.


Sesungguhnya pembangunan kompetensi tenaga kerja yang berteraskan inovasi ini jelas Yang Berhormat lagi, adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-31 Tahun 2024.


“Dalam hubungan ini, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk memastikan Perkhidmatan Awam kekal relevan, efisien dan responsif kepada keperluan rakyat dan negara. Kita juga harus peka bahawa kualiti perkhidmatan yang kita berikan hari ini, akan mempengaruhi serta mencorak masa depan negara kita," ujar Yang Berhormat.


Terdahulu Yang Berhormat menjelaskan, pada tahun-tahun terdahulu, program-program di bawah Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) ini akan sentiasa diteliti dan diberi nilai tambah agar para peserta akan sentiasa didedahkan kepada pelbagai modul kepimpinan yang komprehensif, merangkumi pengurusan strategik, pembangunan dasar awam, transformasi digital dan kepimpinan berintegriti.


Selain itu, jelas Yang Berhormat, ia juga dihasratkan bukan sekadar sebuah platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah sebagai wadah dalam membina jaringan profesional dari kalangan pemimpin sektor awam yang sememangnya merupakan tulang belakang kepada transformasi perkhidmatan awam negara ini.


Justeru itu, tambah Yang Berhormat, setiap peserta adalah diharapkan untuk memanfaatkan sepenuhnya ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu yang diperoleh dan seterusnya menjadikannya sebagai sandaran dalam memperkenalkan sebarang pembaharuan dan perubahan yang bermakna di organisasi masing-masing.


Menyentuh mengenai keberkesanan Perkhidmatan Awam jelas Yang Berhormat lagi, penubuhan Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam (JTPA) merupakan langkah strategik dalam menerajui pembaharuan sektor awam secara menyeluruh, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21.


“JTPA berperanan dalam merangka dasar, strategi dan inisiatif transformasi melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation, dengan penekanan kepada tadbir urus digital, dasar pro bisnes serta penyelarasan rentas sektor termasuk penglibatan sektor swasta dan NGO," ujar Yang Berhormat.


Menurut Yang Berhormat, kejayaan pelaksanaan transformasi ini menuntut komitmen dan kepimpinan setiap penjawat awam sama ada di peringkat penggubalan mahupun pelaksana.


Sebagai pemimpin, tambah Yang Berhormat, para peserta kursus ini diharap dapat memainkan peranan penting dalam transformasi ini, dengan mengenal pasti ruang penambahbaikan dan menjadi agen perubahan yang membawa nilai dan impak nyata kepada organisasi dan negara.


Close