Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mei. - Seramai 25 peserta Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO-31); 27 peserta Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO-35) dan 25 peserta Program Eksekutif Muda (YEP-9) hari ini menerima sijil masing-masing pada Majlis Penyampaian Sijil Bagi EDPSGO Kali Ke-31, EDPMMO Kali Ke-35 serta YEP Kohort-9.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, di sini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pengetua Sekolah-sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor yang merupakan salah seorang peserta EDPSGO-31.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Awang Norfarizal bin Othman dalam kata alu-aluan menjelaskan, EDPSGO, Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan dan Pegawai-pegawai Eksekutif Muda adalah merupakan program kepimpinan yang diamanahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Perkhidmatan Awam (IPA) bagi menggilap potensi kepimpinan pegawai-pegawai dalam Perkhidmatan Awam.
Menurutnya, Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) mula diperkenalkan pada tahun 2016 di mana sehingga kini jumlah pegawai Perkhidmatan Awam yang tersenarai dalam CSLP adalah seramai 1,043 orang iaitu peningkatan sebanyak lebih 50 peratus berbanding jumlah pada dua tahun pertama ia ditubuhkan.
Pada masa ini jelasnya, nisbah (ratio) jumlah pegawai CSLP kepada jumlah keseluruhan pegawai Bahagian I dan II dalam Perkhidmatan Awam adalah sebanyak 1:12 dan lebih membanggakan lagi peratus pegawai-pegawai yang mencapai keputusan Gred A dan B dalam program-program perdana CSLP secara konsisten sejak ia diwujudkan adalah melebihi KPI PPB jabatan yang telah ditetapkan.
“Pada tahun 2024, sebanyak 91 peratus telah mencapai keputusan Gred A dan B iaitu melebihi KPI PPB jabatan iaitu 88 peratus," ujarnya.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga menyampaikan ucapan.
Sejurus itu, klip video turut ditayangkan memaparkan aktiviti-aktiviti semasa program-program pembangunan eksekutif tersebut berlangsung.
Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri di JPM, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pemangku Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei, Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan yang berkenaan.
Program-program Pembangunan Eksekutif ini merupakan program 'flagship' CSLP di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam yang diwujudkan bagi mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Institusi (Institutional Development Strategy).
Tujuan CSLP adalah untuk menyediakan Leadership Pool daripada kalangan pegawai-pegawai Bahagian II ke atas bagi membantu Perancangan Strategik Sumber Manusia dalam Perkhidmatan Awam.
Modul-modul program tersebut diselaraskan dengan kompetensi kompetensi kepimpinan yang telah dikenal pasti melalui Model CSLP berdasarkan amalan-amalan terbaik dalam pembangunan kepimpinan.
Kesemua program 'flagship' CSLP bagi tahun 2024 telah dikendalikan oleh IPA.
Bagi pengendalian EDPSGO-31, pihak IPA juga bekerjasama dengan Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore dan Chandler Institute of Governance (CIG), Singapore.
Kandungan program-program tersebut antara lainnya memuatkan pengajian isu dan dasar semasa serta amalan terbaik dalam pengurusan dan pentadbiran Perkhidmatan Awam yang dipraktikkan secara global.
Selain itu, para peserta juga diberikan pendedahan secara praktikal melalui penempatan kerja, projek kemasyarakatan, lawatan sambil belajar dan sesi dialog bersama Menteri.
