Lawatan terokai peluang kerjasama UNISSA, BFI




Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali






BELAIT, Jumaat, 9 Mei. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengadakan lawatan ke Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI) di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK), Daerah Belait.


Rombongan terdiri daripada Pegawai-pegawai Eksekutif UNISSA dan tenaga akademik Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban UNISSA yang diketuai oleh Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.


Pada lawatan tersebut, rombongan diberikan taklimat mengenai latar belakang dan perkembangan BFI yang mula beroperasi pada tahun 2013 dan seterusnya dibawa meninjau kemudahan dan penghasilan bahan mentah yang dikeluarkan oleh BFI.


Lawatan ini adalah bagi meneroka peluang kerjasama antara UNISSA dan BFI, selain perbincangan ilmiah antara kedua-dua pihak yang menumpukan kepada penyelidikan bersama berkaitan baja dan penggunaannya di sektor pertanian tempatan juga diadakan.


Pembangunan modal insan melalui program latihan industri UNISSA juga dibincangkan dalam kunjungan ini termasuk menyediakan latihan kemahiran baharu kepada pelajar-pelajar UNISSA melalui interaksi langsung dan pemindahan pengetahuan daripada pakar industri di bawah BFI.


Kunjungan ini membuka ruang UNISSA dan BFI mengatur langkah strategik untuk memanfaatkan kekuatan gabungan akademik dan industri dalam memacu inovasi, membangunkan tenaga kerja mahir dan mempelbagaikan ekonomi Brunei khususnya dalam sektor pertanian.


Close