Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Mei. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Tabung Amanah Pekerja (TAP) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan permulaan kerjasama strategik yang tertumpu kepada memupuk keusahawanan, meningkatkan celik kewangan, dan menyokong kesiapsiagaan tenaga kerja negara dalam kalangan pelajar dan graduan.
Majlis Menandatangani MoU berkenaan diadakan di Bilik Persidangan Pentadbiran UBD dan disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle; dan Pengarah Urusan TAP, Awang Haji Mohammad Adfarul bin Haji Maz Adanan.
Acara berkenaan turut disaksikan oleh Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan) UBD, Dr. Haji Masairol bin Haji Masri; dan Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan TAP, Dayang Sarirani Abdul Ghani.
Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pelajar dan graduan dengan pengetahuan, alatan serta peluang untuk berkembang maju dalam landskap ekonomi yang sedang berubah-ubah.
Antara bidang utama kerjasama ialah promosi Skim Persaraan Kebangsaan untuk Bekerja Sendiri (SPK SE) oleh TAP, yang akan diperkenalkan kepada pelajar dan usahawan muda melalui aktiviti kesedaran dan jangkauan yang disasarkan.
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk memupuk budaya tanggungjawab kewangan dan perancangan jangka panjang dalam kalangan belia yang meneroka kerjaya sendiri atau bebas.
Di samping itu, UBD dan TAP akan bersama-sama membangunkan program dan bengkel yang direka untuk membina daya tahan kewangan dan keupayaan keusahawanan.
Kerjasama berkenaan juga akan membuka laluan untuk latihan industri dan pembangunan kerjaya pelajar, serta meneroka kemungkinan untuk menubuhkan makmal penyelidikan dan latihan bersama untuk menyokong inovasi dan usaha pembinaan kapasiti.
Inisiatif-inisiatif berkenaan sejajar dengan rangka kerja UBD's Discovery Year dan agenda pembangunan modal insan Negara Brunei Darussalam (NBD).
MoU berkenaan menggariskan rangka kerja kerjasama selama lima tahun, termasuk peruntukan untuk pembaharuan dan penyesuaian mengikut keutamaan masa depan.
Kerjasama berkenaan merupakan tindak balas yang tepat pada masanya kepada dinamik pekerjaan dan keusahawanan yang sedang berkembang, bagi memastikan tenaga kerja bersedia masa hadapan dilengkapi dengan alat untuk berdikari dari segi kewangan dan inovasi secara kendiri.
Selain itu, kerjasama berkenaan juga menyokong visi NBD di bawah Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Induk Ekonomi Digital, serta memperkukuh usaha untuk melahirkan generasi yang berdaya tahan, inovatif dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut atau kemas kini program, ikuti '@ubd.ieed' di Instagram atau hubungi 'office.avc.ieed@ubd.edu.bn'.