Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Jumaat, 9 Mei. – Pusat Perubatan Jerudong Park (Jerudong Park Medical Centre - JPMC) melalui Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah (Ibadah Friendly Hospital – IFH Committee) mengadakan Majlis Doa Selamat bagi meraikan lima orang kakitangannya daripada JPMC dan Gleneagles JPMC yang akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Majlis yang berlangsung di Surau JPMC itu dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengarah Eksekutif JPMC selaku tetamu kehormat majlis.
Juga hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr. Peter Tay Boon Chye, pihak Pengurusan Kanan JPMC, ketua-ketua jabatan dan kakitangan JPMC dan Gleneagles JPMC.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa IFH, Awang Haji Ishkandar bin Haji Buntar yang antara lain menerangkan mengenai pentingnya doa serta niat sepanjang melaksanakan Rukun Islam kelima itu.
Majlis diikuti dengan penyampaian sumbangan derma kepada lima bakal jemaah haji berkenaan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Sumbangan-sumbangan tersebut merupakan ihsan daripada Jawatankuasa IFH JPMC dan Gleneagles JPMC.
Bacaan Doa Kesyukuran kemudiannya dipimpin oleh Awang Haji Ishkandar bagi memohon keberkatan dan perlindungan bagi bakal jemaah haji sepanjang perjalanan mereka menunaikan ibadah haji.
Jawatankuasa IFH JPMC berhasrat untuk menjadi model institusi penjagaan kesihatan Islam yang menyediakan penjagaan ihsan dan holistik menangani keperluan fizikal, emosi dan rohani pesakit selaras dengan agenda Negara Zikir.