Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Mei. - Kementerian Pertahanan telah mengadakan Majlis Jiwa Murni, iaitu majlis penyampaian sumbangan kepada 73 bakal jemaah haji Kementerian Pertahanan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison.
Para bakal jemaah haji tahun ini terdiri daripada 51 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta 22 pegawai dan kakitangan awam yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada para bakal jemaah haji lelaki, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Manakala penyampaian sumbangan kepada para bakal jemaah haji perempuan disempurnakan oleh isteri Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; peringkat kepimpinan Kementerian Pertahanan bersama pasangan masing-masing serta pegawai-pegawai dan warga Kementerian Pertahanan.
Majlis tahun ini diserikan dengan penyampaian tazkirah bertajuk 'Natijah Haji Mabrurah' yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Awang Haji Mohammad Rif'at Atiyah bin Anwari.
Bagi memberkati pemergian para bakal jemaah haji ke Tanah Suci, majlis disempurnakan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Selamat bagi memohon keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala agar segala urusan mereka berjalan dengan sempurna, mendapat perlindungan dan dikurniakan haji yang mabrur.