Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BERAKAS, Jumaat, 9 Mei. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji (JUH) petang tadi mengadakan Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra Bersama Bakal Jemaah Haji Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), di sini.
Majlis berkenaan bertujuan bagi meraikan bakal jemaah haji yang akan menunaikan ibadat haji pada musim haji tahun 1446H / 2025M dan juga memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar para jemaah sentiasa berada dalam lindungan dan keselamatan serta dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan manasik haji.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang, yang juga turut memimpin bacaan Doa Selamat.
Sejurus itu, ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Haji, KHEU, Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad, diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis.
Atur cara diakhiri dengan Majlis Ramah Mesra bersama para bakal jemaah haji dan seterusnya menikmati jamuan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam (NBD), Hani Yahya Maghrabi.
Juga hadir, Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; dan para pegawai kanan KHEU serta Pengarah-pengarah Urusan dan wakil-wakil syarikat pengendali perkhidmatan haji bagi Musim Haji Tahun 1446H / 2025M
Bakal jemaah haji NBD pada Musim Haji Tahun 1446H / 2025M dijadualkan akan bertolak ke Tanah Suci dalam empat penerbangan, iaitu pada 17, 18, 19 dan 20 Zulkaedah 1446 bersamaan 15, 16, 17 dan 18 Mei 2025.