Patuhi peraturan, larangan yang dikuatkuasakan Kerajaan Arab Saudi




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said 






BERAKAS, Jumaat, 9 Mei. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan sentiasa komited dan terus bekerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi dalam mematuhi semua ketetapan dan kehendak yang telah ditetapkan khususnya dalam pengurusan haji, dan Jabatan Urusan Haji (JUH) adalah merupakan satu-satunya pihak yang berautoriti untuk mengeluarkan visa haji yang sah di negara ini.


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan Arab Saudi telah memperketatkan peraturan kemasukan warga asing ke Arab Saudi dalam usaha mengawal kemasukan jemaah tanpa menggunakan visa haji yang sah.


Usaha berkenaan bertujuan untuk memastikan keselamatan, kemaslahatan dan kebajikan jemaah haji sentiasa terjaga, mengelakkan kepadatan yang berlebihan, dan manasik haji dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.


Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika berucap pada Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra Bakal Jemaah Haji NBD yang diadakan petang tadi bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), di sini.


Yang Berhormat seterusnya juga mengingatkan bahawa pematuhan peraturan-peraturan berkenaan adalah sangat penting bagi menjaga imej negara agar tidak tercemar di samping menjaga reputasi pengurusan jemaah haji negara yang memang diketahui patuh atas segala peraturan yang ditetapkan serta memastikan pengurusan haji di masa akan datang tidak terjejas.


Tambah Yang Berhormat lagi, Kerajaan Arab Saudi mengambil perhatian yang sangat serius dalam perkara berkenaan dan akan mengenakan tindakan-tindakan bagi sesiapa yang didapati mengerjakan haji tanpa menggunakan visa haji yang sah, iaitu denda sehingga SAR20,000, dan diusir dari Arab Saudi serta ditegah masuk ke Arab Saudi bagi tempoh 10 tahun.


Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) tegas Yang Berhormat, sangat komited dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan larangan yang telah dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi berkenaan.


Yang Berhormat sukacita mengingatkan kepada rakyat dan penduduk serta syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan haji di negara ini untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.


Antaranya dengan melaksanakan ibadat haji dengan visa haji yang sah, semua pergerakan jemaah haji di Arab Saudi mengikut jadual waktu yang ditentukan, sentiasa memakai kad Nusuk, iaitu kad pengenalan diri jemaah haji yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi di mana sahaja jemaah haji berada dan pada bila-bila masa bagi memudahkan urusan-urusan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi dan juga urusan perjalanan masuk ke Mashaer (Arafah dan Mina) dan Masjidil Haram; dan masuk ke Raudhah dengan permit yang sah.


Mematuhi peraturan dan larangan Kerajaan Arab Saudi berkenaan penting jelas Yang Berhormat lagi, bagi menjaga imej negara agar tidak tercemar, mengekalkan reputasi pengurusan jemaah haji negara yang diketahui patuh atas semua peraturan yang ditetapkan, dan yang penting sekali, memastikan pengurusan haji di masa akan datang tidak terjejas.


Selain itu kata Yang Berhormat lagi, adalah bagi mengelakkan keistimewaan-keistimewaan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi NBD seperti penggunaan Visa Pelancong Arab Saudi ditarik balik.


Close