Kejayaan Wawasan Brunei 2035 perlu perancangan pembangunan teliti



​​

Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 April. - Wawasan Brunei 2035, bukan sahaja menjadi panduan dasar dan strategi pembangunan negara tetapi juga mencerminkan harapan rakyat dan penduduk negara bagi kualiti kehidupan yang tinggi, peluang yang saksama dan sebuah negara yang makmur, aman dan sejahtera.


Tiga aspirasi utama Wawasan Brunei 2035, iaitu untuk melihat Negara Brunei Darussalam (NBD) dikenali dengan rakyatnya yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, mempunyai taraf hidup yang berkualiti tinggi dan ekonomi yang dinamik dan mampan, mencerminkan hala tuju strategik negara yang berpandangan jauh dari berlandaskan cita-cita murni ini.


Kejayaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 menuntut perancangan pembangunan yang teliti, penyelarasan dan pensejajaran yang kukuh serta komitmen tinggi daripada / kepada semua pihak, ia juga bergantung kepada pelaksanaan yang cekap sebagai asas kepada pembangunan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara berkenaan semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 (MTWB 2035) Kali Pertama bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah kita memerlukan institusi yang kukuh, urus tadbir yang berkesan dan penggunaan data yang menyeluruh sebagai asas perancangan dan keputusan strategik dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.


"Dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks seperti konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi akibat ketegangan perdagangan, perubahan iklim dan transformasi digital.


Maka adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan usaha-usaha Majlis Tertinggi ini sentiasa selaras dengan perkembangan semasa dan pada masa yang sama, tidak lari dari tiga nilai teras Wawasan Brunei 2035, iaitu kesetiaan kepada sultan dan negara, keyakinan terhadap nilai-nilai Islam dan keharmonian sosial dan amalan tradisi berbaik-baik.


Di sinilah pentingnya, peranan MTWB 2035 dalam memastikan perancangan strategik yang disusun di bawah kerangka kerja Wawasan Brunei 2035," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.


Blueprint-blueprint Wawasan Brunei 2035 dan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara titah baginda lagi adalah dikehendaki sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.


Kebawah DYMM juga berkenan merujuk titah baginda sedekad yang lalu semasa penubuhan majlis tersebut iaitu mengenai dengan pentingnya kerjasama erat di antara Majlis dan Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara dalam memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan negara dengan lebih terarah dan menyeluruh, baginda bertitah melahirkan harapan agar Majlis Tertinggi berkenaan akan terus menyokong inisiatif-inisiatif yang digerakkan oleh semua pihak dalam merealisasikan objektif-objektif besar di bawah Wawasan Brunei 2035 dan menjayakan pelaksanaan blueprint-blueprint.


Terdahulu, Kebawah DYMM dalam titah menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan sokongan padu semua ahli dalam usaha untuk menjayakan Wawasan Brunei 2035 yang merupakan hala tuju jangka panjang negara yang mencerminkan cita-cita murni dan komitmen padu ke arah kemajuan yang inklusif, seimbang dan berterusan.

Close