Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd Zul-Izzi Haji Duraman
JERUDONG, Isnin, 14 April. - Majlis Olimpik Asia (Olympic Council of Asia-OCA) dengan kerjasama Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (Brunei Darussalam National Olympic Council-BDNOC) akan menganjurkan Fun Run sempena Sukan Asia Aichi-Nagoya Ke-20, tahun 2026 pada esok petang.
Fun Run yang bermula dan berakhir di Indera Samudera Hall, The Empire Brunei berkenaan akan bermula pada jam 5.00 petang sejurus selepas 2nd OCA Gender Equity Seminar.
Perkara demikian dijelaskan oleh Naib Presiden Majlis BDNOC, Awang Haji Mohd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani pada sidang media yang berlangsung di The Empire Brunei, di sini.
Menurutnya, kira-kira 500 peserta dijemput untuk menyertai acara berkenaan dengan melibatkan pelajar sekolah, persatuan sukan kebangsaan, majlis sukan, serta delegasi antarabangsa yang menghadiri seminar berkenaan.
Juga hadir semasa sidang media berkenaan, Pengarah Media dan Penyiaran OCA, Jeans Zhou Jian; Pengarah Pembangunan dan Hubungan Antarabangsa OCA, Wissam Trkmani; dan Pengarah Media dan Perhubungan Awam Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Ke-20 Aichi Nagoya, Inomata Yusuhiro.
Larian berkenaan bertujuan untuk mempromosi bukan sahaja Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai tuan rumah, tetapi juga memupuk semangat komuniti dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.
Acara Fun Run akan dimulakan dengan sesi pemanasan badan sebelum para peserta memulakan larian mengikut kategori masing-masing.
Kategori Fun Run adalah terdiri daripada Kategori Terbuka Lelaki 2.8 kilometer (km), Kategori Terbuka Wanita 2.8km, Kategori Fun Run Kanak-kanak Lelaki Bawah 12 Tahun 1.4km, Kategori Fun Run Kanak-kanak Perempuan Bawah 12 Tahun 1.4km, Kategori Fun Run Orang Kelainan Upaya (OKU) 1.4km, Kategori Fun Run Veteran Lelaki 1.4km, Kategori Fun Run Veteran Wanita 1.4km, dan Kategori Fun Run Delegasi Seminar 1.4km.
Semua peserta akan menerima sijil penyertaan. Selain itu, pingat akan dianugerahkan kepada 10 peserta teratas yang berjaya menamatkan larian bagi setiap kategori.
Fun Run juga berperanan sebagai pembuka tirai kepada Sukan Asia dan menyerlahkan komitmen NBD dalam mempromosi sukan dalam masyarakat.
Sidang media berakhir dengan penghargaan kepada The Empire Brunei atas sokongan dan fasiliti yang disediakan dalam menjayakan penganjuran seminar berkenaan.