Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Sekolah-sekolah
TEMBURONG, Isnin, 14 April. - Seramai 37 pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Hassan telah diraikan atas pencapaian akademik mereka dalam Majlis Penyampaian Anugerah Akademik Tahunan sekolah bagi BC GCE 'O' Level dan IGCSE untuk tahun 2024.
Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah, Dr. Andree Asmara bin Haji Abidin hadir sebagai tetamu kehormat.
Semasa majlis tersebut, Pengetua sekolah berkenaan, Awang Helmy bin Haji Abdul Rahman telah menyampaikan ucapan dan diikuti dengan ucapan yang disampaikan oleh Awang Muhammad Wafri bin Zulhari selaku wakil pelajar bagi kohort 2024.
Dalam majlis tersebut, sebanyak lima kategori anugerah telah disampaikan kepada para pelajar oleh Pengetua, Timbalan Pengetua Akademik dan Timbalan Pengetua Pentadbiran masing-masing.
Bagi Kategori 5 hingga 6 Kredit, anugerah disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Ziad bin Haji Kula.
Sementara Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Vivian Leong Hui Vun menyampaikan anugerah bagi pelajar yang memperoleh Kategori 7 Kredit dan Ke Atas dan Pengetua menyampaikan anugerah bagi Kategori Pelajar Terbaik Mengikut Mata Pelajaran dan Kategori Pelajar Terbaik Mencapai A* dalam Combined Science dan Mathematics D kepada dua orang pelajar.
Anugerah Kategori Pelajar Top 5 pula disampaikan oleh tetamu kehormat sekali gus bersama penyampaian anugerah bagi Kategori Pencapaian Guru Individu Terbaik kepada sembilan orang guru serta Kategori Anugerah Impak Tiga Tahun kepada empat orang guru.
Pada akhir majlis, Pengetua sekolah menyampaikan Anugerah Pengetua yang berprestij kepada Dayang Nur Syahirah Amani binti Muhammad Nur Ariffin, sebagai pengiktirafan pencapaian akademik cemerlang beliau dan penglibatan aktif dalam aktiviti kurikulum di dalam sekolah dan luar sekolah.