Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
TUNGKU LINK, Isnin, 14 April. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) melancarkan Innovation Festival 2025, juga dikenali sebagai InnovFest, sebuah festival inovasi dan keusahawanan selama empat hari yang dianjurkan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor Pejabat Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan (Industry Engagement and Enterprise Development - IEED).
InnovFest 2025 menghimpunkan para pelajar, para penyelidik, pakar industri, ahli-ahli keusahawanan, dan orang awam dalam meraikan idea dan kreativiti bersama melalui jaringan kolaborasi dan pembangunan keusahawanan yang mampan.
Dalam ucapan pembukaannya, Penolong Naib Canselor (IEED), Dr. Haji Masairol bin Haji Masri, menjelaskan bahawa InnovFest 2025 merupakan penjenamaan semula kepada Festival Inkubasi yang diadakan sebelum ini.
Menurutnya, penjenamaan berkenaan dibuat bagi mencerminkan misi yang lebih luas, iaitu mewujudkan platform yang inklusif yang mengalu-alukan penyertaan pelajar daripada semua fakulti, penyelidik pascasiswazah, tenaga akademik, serta pemegang taruh industri untuk mempamerkan inovasi, prototaip, dan penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Dr. Haji Masairol turut menekankan bahawa penilaian pelajar bagi InnovFest 2025 adalah berdasarkan kepada piawaian antarabangsa, seperti Babson Global Student Challenge Rubric, yang mengukuhkan komitmen UBD untuk sejajar dengan amalan terbaik global dalam pendidikan keusahawanan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.
Festival berkenaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Naib Canselor yang menekankan bahawa InnovFest 2025 dipandu oleh Pelan Induk Keusahawanan UBD, iaitu visi jangka panjang untuk menjadikan UBD sebagai pemangkin inovasi dan pembangunan ekonomi dalam pendidikan, penyelidikan dan penglibatan masyarakat.
Dalam ucapannya, Naib Canselor turut menekankan pengiktirafan global yang berprestij baru-baru ini, iaitu 2025 Babson Collaborative Spotlight Award yang berlangsung di Paris, yang telah dianugerahkan kepada IEED dan Pasukan Pengurusan Keusahawanannya.
Beliau turut menegaskan bahawa UBD merupakan institusi pertama di Asia yang menerima pengiktirafan ini, sekali gus membuktikan komitmen UBD dalam memupuk kepimpinan, kerjasama, dan semangat berpasukan.
Majlis seterusnya dengan lawatan ke ruang dan petak pameran projek. Sepanjang InnovFest 2025 berlangsung, para pelajar UBD yang mengikuti program seperti Discovery Year U-beyond Incubation, Venture Lab, dan Entrepreneurship for Digital Scientists mempamerkan hasil kerja mereka kepada khalayak ramai, khususnya kepada para akademik dan industri.
Acara berkenaan turut menampilkan Pameran Projek Penyelidikan, yang memperlihatkan hasil penyelidikan terkini dan model inovatif oleh para pensyarah serta pelajar pascasiswazah UBD, sekali gus membuka peluang untuk pertukaran ilmu, kerjasama merentas sektor dan penglibatan awam terhadap penyelidikan semasa universiti.
Selain pameran projek, InnovFest 2025 turut menampilkan pengisian program dinamik termasuk bengkel keusahawanan untuk para pelajar sekolah-sekolah dan kolej-kolej yang berkunjung, sesi ceramah perniagaan bersama tokoh-tokoh permulaan (startup) yang dikenali di Negara Brunei Darussalam, serta Sesi Ceramah Pemimpin Peniaga Muda. Stesen Spark and Create pula menyediakan aktiviti interaktif untuk para peserta yang lebih muda seperti permainan pendidikan, stesen seni dan 'treasure hunt' bertemakan keusahawanan, antara lain bertujuan untuk menyemai minat dan ilham kepada generasi akan datang. Pameran Petak Alumni dan Rakan Industri UBD pula mengetengahkan kerjasama dan inovasi daripada pelbagai sektor, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang untuk jaringan dan kolaborasi.
Sepanjang empat hari festival diadakan, para pengunjung diberi peluang untuk meneroka, mempelajari dan berhubung dengan para pelajar, pakar-pakar dan pencipta inovasi lain secara bersemuka. Projek-projek yang diketengahkan meliputi pelbagai bidang industri termasuk teknologi, penjagaan kesihatan, perkhidmatan alam sekitar, keselamatan siber dan pertanian yang mencerminkan kreativiti serta kebolehgunaan dalam dunia sebenar.
InnovFest 2025 menjadi platform bagi mahasiswa dan mahasiswi dalam program keusahawanan dan inovasi UBD untuk mengetengahkan hasil kerja mereka dalam usaha membangun dan mencipta prototaip idea perniagaan.
Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Ir. Haji Jailani bin Haji Buntar; pegawai kanan UBD serta para pemegang taruh industri.
InnovFest 2025 diadakan dari 14 hingga 17 April 2025 bertempat di Inspiring Hub, UBD, dan dibukakan untuk kunjungan orang ramai.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini secara langsung, ikuti '@ubd.ieed' di Instagram atau hubungi 'office.avc.ieed@ubd.edu.bn'.