Seminar Majlis Olimpik Asia dirasmikan




Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





JERUDONG, Isnin, 14 April. - Majlis Olimpik Asia (Olympic Council of Asia - OCA) menganjurkan Seminar Kesaksamaan Jantina OCA ke-2 di Negara Brunei Darussalam sebagai negara tuan rumah selama dua hari mulai 14 hingga 15 April 2025 bertempat di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei. 


Tema seminar tahun ini ialah 'Watch Her Shine' yang bertujuan untuk memperkasa dan mempromosi kesaksamaan jantina dalam sukan di seluruh Asia.


Berangkat ke seminar tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ahli Lembaga Eksekutif Kehormat OCA dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).


Aturcara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Ahli Lembaga Eksekutif OCA, Mikako Kotani OLY, diikuti dengan sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.


Sementara itu, His Royal Highness Prince Feisal Al-Hussein, Pengerusi Suruhanjaya Kesaksamaan Jantina Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC), dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Keamanan dan Sukan OCA dalam ucapannya menyeru perlunya kesaksamaan jantina dalam kalangan atlet, serta menangani keseimbangan jantina dalam kalangan jurulatih, pegawai, pengadil, pemimpin serta kakitangan Jawatankuasa Olimpik.


Majlis diteruskan dengan Pemenang Anugerah Kejohanan Kesaksamaan Jantina, Kepelbagaian dan Inklusi (GEDI) Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi Asia 2024, serta Pelan Hala Tuju Jawatankuasa Kesaksamaan Jantina OCA (OCA Gender Equity Committee Road Map) 2024 - 2027 yang disampaikan oleh Pengerusi Kesaksamaan Jantina OCA, Valerie Tarazi OLY.


Majlis diteruskan dengan seminar bertajuk 'Breaking Barriers: Advancing Gender Equity at All Sports Levels' disampaikan oleh tiga ahli panel terdiri daripada Mikako Kotani OLY, selaku Ketua Pasukan Promosi GEDI Promotion Tokyo 2020; Pengurus Pengadil Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Pannipar Kammueng; dan Bekas Atlet Gimnastik Artistik Kebangsaan dan Duta Kesihatan Mental, Farah Ann OLY.


Seminar diikuti dengan IOC-GEDI Department disampaikan oleh Pengurus GEDI IOC, Pedro Dias.


Majlis turut mengetengahkan pembentangan daripada empat orang ahli panel dengan tajuk yang berbeza iaitu Pengurus Projek Majlis Olimpik Kebangaaan (NOC) Kyrgyzstan, Nargiza Bakeeva, dengan tajuk 'A Girl is bound by forty ties'; Pakar Hal-Ehwal Antarabangsa NOC Iran, Hadis Shokouhi, dengan tajuk 'Key Achievements of I.R. Iran NOC Women and Sport Commission'; Setiausaha Agung NOC Jordan, Rana Saeed, dengan tajuk 'Champions for Change, How Jordan is Elevating Women in Sport'; dan Suruhanjaya Atlet Wanita NOC Brunei, Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen, dengan tajuk 'Women In Sports Strategic Plan'. 


Seminar diteruskan pada sesi petang dengan bengkel secara berkumpulan.


Seminar berkenaan dianjurkan dengan kerjasama BDNOC dengan sokongan logistik yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).


Seminar tersebut telah dibukakan kepada 45 Majlis-majlis Olimpik Kebangsaan Asia (NOCs), khususnya menyasarkan kepada Setiausaha Agung dan ahli wanita dalam sukan daripada setiap NOC.


Seramai 88 peserta daripada 43 NOC telah menghadiri perhimpunan berkenaan.


Seminar tersebut menampilkan barisan hebat 19 penceramah terdiri daripada pelbagai organisasi ternama, termasuk IOC, UN Women, Oceania IOC dan International Working Group (IWG). 


Seminar turut dihadiri oleh 10 orang tetamu daripada OCA, termasuk Ahli-ahli Lembaga Eksekutif Kehormat dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kesaksamaan Jantina OCA.


Tokoh-tokoh terkemuka tersebut berkongsi pandangan dan pengalaman mereka tentang memajukan kesaksamaan jantina dalam sukan. 


Penyertaan mereka menggariskan komitmen OCA ke arah memupuk persekitaran sukan yang lebih inklusif untuk wanita.


Bengkel tersebut dijalankan melalui metodologi komprehensif yang direka untuk memaksimumkan pembelajaran, penglibatan dan hasil praktikal. 


Selain itu, ia merangkumi satu siri pembentangan yang diketuai oleh pakar-pakar yang memberikan pengetahuan asas dan pandangan strategik tentang isu-isu keadilan jantina dalam sukan.


Selepas pembentangan tersebut, perbincangan panel yang dinamik dengan menampilkan pemimpin dan pihak berkepentingan yang terkenal dalam kesaksamaan jantina membolehkan para peserta berkongsi pelbagai perspektif dan pengalaman.


Seminar Kesaksamaan Jantina OCA yang julung kali diadakan di Manama, Bahrain pada 2022 meletakkan satu asas untuk perbincangan masa depan mengenai kesaksamaan jantina dalam sukan.


Berdasarkan asas ini, seminar tersebut menjanjikan pengalaman yang memperkayakan semua peserta kerana mereka melibatkan diri dalam dialog bermakna dan usaha kolaboratif yang bertujuan untuk meningkatkan peluang untuk wanita dalam sukan di seluruh Asia.

Close