Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
JERUDONG, Isnin, 14 April. - Inisiatif Pelan Strategik Wanita dalam Sukan yang julung kalinya diperkenalkan Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) mencerminkan langkah penting ke hadapan dalam usaha Majlis Sukan Asia (OCA) menggalakkan inklusiviti dan penyejajaran matlamat yang akan diterokai pada Seminar Kesaksamaan Jantina OCA kedua.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden BDNOC dan Ahli Lembaga Eksekutif Kehormat OCA bersabda demikian semasa berangkat ke Majlis Pembukaan Seminar Kesaksamaan Jantina OCA kedua, di The Empire Brunei, di sini.
Duli Yang Teramat Mulia bersabda menyeru para peserta bagi fokus pada hasil yang boleh diambil tindakan dalam membina perkongsian, membangunkan inisiatif dan mewujudkan persekitaran norma bagi kesaksamaan jantina di masa hadapan, sepanjang dua hari seminar diadakan.
DYTM juga bersabda menyeru dalam memastikan atlet wanita mempunyai peluang untuk menyerlah dengan cara mereka sendiri dan mencipta laluan bagi peranan kepimpinan mereka dalam sukan, bukan sahaja sebagai pemain.
"Sukan juga mempunyai kuasa yang besar bagi memperkasa individu, memupuk kepimpinan dan membina komuniti yang lebih kuat," sabda DYTM.
Tema seminar iaitu 'Watch Her Shine', sabda DYTM, bukan sekadar meraikan atlet wanita tetapi juga sebagai dorongan bagi memacu perubahan sebenar dalam memastikan wanita mendapat sokongan dan peluang untuk berjaya dalam sukan.
DYTM seterusnya bersabda, Jawatankuasa-jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOCs) boleh memainkan peranan penting dengan memanfaatkan Dana OCA/OS bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam sukan di semua peringkat.
DYTM juga bersabda menekankan mengenai keperluan bagi mengiktiraf kepentingan rakan sekutu lelaki dalam usaha ini dan sokongan mereka bagi perubahan budaya yang berkekalan.