Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 April. - Menderma darah merupakan amalan yang sangat penting untuk dilakukan kerana ia dapat membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Saleha sentiasa mengadakan kempen darah di tempat-tempat tumpuan untuk menggalakkan orang ramai menderma darah bagi menampung keperluan pemindahan darah di kesemua hospital di negara ini.
Salah seorang penderma, Awang Mohammad Soffri bin Haji Serudin, 53 tahun, berkata, beliau merancang untuk menderma darah secara rutin setiap tiga bulan bagi membantu menambah bekalan stok darah di negara ini.
"Sejak aplikasi Bloodkad diperkenalkan kepada orang ramai beberapa tahun yang lalu, ia memudahkan kami sebagai penderma darah untuk melihat status stok bekalan darah mengikut jenis darah yang dikemas kini oleh Pusat Pendermaan Darah," katanya kepada Pelita Brunei.
Beliau juga menyarankan orang ramai yang mempunyai kesihatan dan tahap darah yang baik untuk sama-sama menyumbang bagi membantu para pesakit yang memerlukan pemindahan darah terus menerima rawatan.
Sementara itu, Dayang Umi binti Abdul Razak, 43 tahun, yang juga salah seorang penderma darah turut menyarankan orang ramai menderma darah secara rutin setiap tiga bulan kerana banyak manfaat yang diperoleh bukan sahaja kepada masyarakat malahan daripada segi kesihatan penderma.
"Malahan, rutin menderma darah dapat dimulakan sedari muda lagi lebih-lebih lagi di negara ini, bekalan darah sentiasa diperlukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
Secara peribadi, saya berpendapat kita perlu menjaga kesihatan secara berterusan bagi memastikan tubuh kita mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk menderma darah kerana kita tidak tahu siapa yang akan memerlukan pemindahan darah berkenaan suatu masa nanti, kemungkinan ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan kita.
Ketika ini, anak salah seorang rakan saya yang menghidapi penyakit talasemia memerlukan bekalan darah kerana stok jenis darahnya mengalami kekurangan di tabung darah.
Dengan menderma darah ini, kami dapat berusaha membantu anak beliau menerima transfusi darah," katanya.
Oleh itu, jelasnya, jangan tunggu sebelum menderma darah untuk menjaga kesihatan tetapi ia perlu diamalkan secara berterusan dengan menjaga pemakanan dan tidur yang cukup bagi memastikan kita dapat menderma darah kepada mereka yang memerlukan.
Manakala, Dayang Ernee Sofinah binti Mustapha berkata, menderma darah sangat memberi impak besar yang positif bukan sahaja pada diri si penderma malah untuk masyarakat.
Jadi, ujar beliau, setiap individu perlu peka akan kempen-kempen derma darah yang diadakan dan turut serta menyertai kempen ini.
Pembarigaan kempen derma darah boleh diperoleh melalui laman media sosial seperti Instagram bloodbank_ripas dan aplikasi Bloodbank yang sentiasa mengemas kini tarikh dan lokasi kempen-kempen tersebut.