Majlis ‘Sungkai Kasih Ramadhan’ santuni warga Pusat Ehsan





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Mac. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan Majlis 'Sungkai Kasih Ramadhan' bersama kakitangan dan pelajar-pelajar berkeperluan khas dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong, di sini.


Hadir selaku tetamu-tetamu khas ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, dan diteruskan dengan penyerahan derma kepada 50 pelajar dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam cenderahati yang disampaikan oleh tetamu-tetamu khas majlis.


Pada majlis tersebut, tetamu-tetamu khas juga telah menyampaikan sumbangan khas kepada wakil Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.


Majlis seterusnya diserikan dengan acara berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.


Tetamu-tetamu khas berserta jemputan-jemputan yang lain seterusnya berpeluang beramah mesra bersama pelajar-pelajar dan kakitangan dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Menteri; Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di JPM; Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam; Ketua-ketua Jabatan; serta pegawai dan kakitangan di JPM.


Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) di bawah program 'JPM in the Community' yang bertujuan bagi meningkatkan penglibatan warga JPM dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan membantu komuniti yang memerlukan.​



Close