Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
JUNJONGAN, Khamis, 27 Mac. - Sempena memperingati bulan suci Ramadan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) dan anak-anak syarikatnya Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. (IITHSB), Darussalam Holdings Sdn. Bhd., dan TAIB Filling Station Sdn. Bhd. telah mengadakan Majlis Penyerahaan Kutipan Zakat Simpanan Perbadanan TAIB, Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) yang berlangsung di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan.
Hadir pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, juga Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, yang juga selaku Penasihat kepada Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB; Penolong Mufti Negara ('Ifta), Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Dennie bin Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya; Ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB dan IITHSB, Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Ketua Kampung Junjongan dan Kampong Putat, tetamu jemputan, pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya serta penduduk kampung sekitarnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid As-Salaam, Awang Haji Hayrul bin Haji Hakim.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyerahan Zakat Perbadanan TAIB berjumlah BND4,300,065.10 kepada MUIB. Jumlah kutipan zakat tersebut diperoleh melalui pemotongan automatik yang dibenarkan daripada pemegang akaun simpanan serta kutipan zakat melalui kemudahan Mesin Pengeluaran Wang (ATM) dan Multi-Function Machine (MFM) sepanjang 2024.
Zakat berkenaan diserahkan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis diteruskan dengan bacaan Khatam Al-Quran, Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ketua Imam masjid.
Majlis Penyerahaan sumbangan turut disampaikan kepada anak-anak yatim dalam kalangan ahli keluarga kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya seramai 12 orang dan anak-anak yatim dari kawasan Kampung Junjongan seramai 16 orang. Sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada DANA di mana sebanyak BND150,000 telah disumbangkan oleh Perbadanan TAIB dan sebanyak BND10,000 masing-masing disumbangkan oleh Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn. Bhd., Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.
Bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan derma tersebut, Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, telah menyerahkan sumbangan-sumbangan berkenaan dan diterima oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan seterusnya Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid As-Salaam.
Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan yang diadakan oleh pihak Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya dalam sama-sama menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan dan juga untuk mengeratkan hubungan di antara pegawai-pegawai dan kakitangan serta penduduk kampung sekitarnya.