Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Mac. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, menandakan berakhirnya bacaan Al-Quran 30 Juzuk sempena bulan Ramadan yang mulia.
Hengyi Industries turut menyampaikan wakaf kepada Masjid Az-Zakireen, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang semasa majlis berkenaan.
Seramai 79 kakitangan Hengyi Industries menyertai acara berkenaan.
Turut hadir, Pemangku Penghulu Mukim Serasa dan Ketua Kampung Kawasan I RPN Kampung Meragang, Awang Mazlan bin Haji Jumat; Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Kampung Meragang, Awang Mohammad bin Haji Tamin dan Pemangku Ketua Kampung RPN Serasa dan Kampung Serasa, Awang Abdul Hamid bin Haji Zinin/Haji Zainin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran, diikuti bacaan Takhtim. Manakala Doa Khatam Al-Quran dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Muhammad Sa'dun bin Haji Suhaili, sementara bacaan dikir dipimpin oleh Awang Mohamad Izuan bin Marali.
Sebagai sebahagian daripada majlis berkenaan, Hengyi Industries juga menyampaikan satu meja bulat besar dan 10 kerusi sebagai wakaf kepada Masjid Az-Zakireen, RPN Kampung Meragang. Barangan berkenaan bertujuan memberi kemudahan tambahan kepada masjid, memastikan ruang yang lebih selesa untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.