Kehebatan, kemuliaan Al-Quran dalam pembinaan tamadun ummah





Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Mac. - Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya, kelolaan Jabatan Buruh telah diadakan petang tadi, bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Bangunan KHEDN, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.


Atur cara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh qari jemputan, iaitu Awang Haji Mohammad bin Ali, johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2020 dan 2022.


Manakala inti sari ayat dibacakan oleh Pegawai Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), Jabatan Buruh, Dr. Muhammad Haziq bin Haji Shahjahan.


Acara turut diserikan lagi dengan Ceramah Khas sempena Sambutan Nuzul Al-Quran bertajuk 'Nuzul Quran Merubah Dimensi Kehidupan Mukmin' yang disampaikan oleh Pensyarah di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Professor Dato' Dr. Haji Zulkifly bin Haji Muda.


Antara inti pati ceramah berkenaan ialah mengenai kehebatan dan kemuliaan penurunan Al-Quran dan kesannya dalam pembinaan tamadun ummah serta penghayatan para sahabat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap Al-Quran.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Pegawai Pemantau Zon 4, Pejabat Hal Ehwal Masjid, Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.


Juga hadir ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dari KHEDN, ketua-ketua jabatan, penghulu mukim dan ketua kampung serta pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Close