MOFE semarakkan Nuzul Al-Quran



​​​​


Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad





BERAKAS, Sabtu, 22 Mac. - Al-Quran adalah petunjuk hidup bagi umat Islam yang memberi pengajaran dan bimbingan dalam menghadapi berbagai-bagai tantangan hidup.


Jika kita berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, ke mana pun kehidupan yang kita jalani pasti Allah Subhanahu Wata'ala tunjukkan jalan.


Untuk itu, Al-Quran bukan hanya untuk dibaca malah umat Islam diseru untuk men'tadabbur', menghayati dan merenung setiap ajaran yang terkandung dalam Al-Quran itu agar dapat mengambil hikmah dan pengajaran daripada setiap ayat-Nya.


Demikian antara inti pati Ceramah Khas bertajuk 'Jangan Tinggalkan Al-Quran' yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Ketua Dakwah Daerah Belait, Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa pada Majlis Memperingati Nuzul Al-Quran bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) yang diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim serta penyampaian hadiah bagi Pertandingan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran bertempat di Dewan Teater, Bangunan MOFE, Commonwealth Drive, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.


Majlis juga dihadiri oleh Setiausaha Tetap, Pemangku-pemangku Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya.


Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II juga menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Membaca Al-Quran terdiri daripada pegawai dan kakitangan MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya bagi Tahun 2025. Sesi saringan pertandingan ini telah diadakan pada 20 Februari 2025 yang lepas.


Johan qari bagi pertandingan tersebut disandang oleh Awang Abdul Wafiy bin Haji Ibrahim, wakil dari Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, naib johan diraih oleh Pengiran Haji Muhammad Ilyas bin Pengiran Haji Masri wakil dari Agensi Pelaburan Brunei dan tempat ketiga disandang oleh Awang Azis bin Haji Matali wakil dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.


Manakala, johan qariah dimenangi oleh Dayang Noraimah binti Napiah wakil dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, naib johan ialah Dayang Aqilah binti Haji Hassan wakil dari Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, manakala tempat ketiga diraih oleh Dayang Hajah Zuraidah binti Haji Awang Abdul Latip wakil dari Agensi Pelaburan Brunei.


Sementara itu, tempat keempat dan kelima masing-masih disandang oleh Dayang Satia binti Haji Tahir dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Dayang Nurul Aziemah binti Hamidon dari Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik.


Acara diakhiri dengan penyampaian derma kepada 20 orang anak yatim yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.


Majlis seumpama ini adalah salah satu aktiviti tahunan MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya dalam menggalakkan pembacaan ayat-ayat Suci Al-Quran di samping mengetengahkan bakat-bakat dalam antara kalangan pegawai dan kakitangan MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya. Majlis pada tahun ini diungkayahkan oleh Bahagian Teknologi Maklumat, MOFE.



Close