Kementerian Kesihatan raikan anak-anak yatim



​​


Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Mac. - Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Derma kepada anak-anak yatim sempena bulan Ramadan, bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.


Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar dan Jabatan Perkhidmatan Renal.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pemangku Menteri Kesihatan.


Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh juara qari Pertandingan Bacaan Al-Quran Kementerian Kesihatan, Awangku Ahmad Fathurrahman Nur Firdaus bin Pengiran Haji Hassanuddin.


Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Ahmad Syujaie bin Begawan Mudim Haji Matassim.


Majlis disusuli dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh Ketua Guru Ugama, Jabatan Perkhidmatan Renal, Awang Haji Mohammad Azmi bin Haji Tapau, diikuti dengan laungan Dikir Marhaban.


Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis kepada 34 anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat juga menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Kementerian Kesihatan dan cenderamata kepada hakim pertandingan.


Majlis diakhiri dengan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan oleh Ketua Guru Ugama, Jabatan Perkhidmatan Renal.


Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; ketua-ketua jabatan berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.


Close