Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Mac. - Lebih daripada 50 orang terdiri daripada mantan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta Besar serta mantan pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri menghadiri Majlis Bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang diadakan di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan, di sini.
Majlis berkenaan adalah khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.
Hadir mengetuai rombongan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pemangku Menteri Kesihatan.
Acara tersebut antara lain merupakan salah satu aktiviti keagamaan bagi menyemarakkan bulan Ramadan dan memohon keberkatan, keredaan serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.