Kementerian Pertahanan santuni anak yatim



​​​​

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hasif Matzin





GADONG, Sabtu, 22 Mac. - Dalam menyemarakkan keberkatan bulan suci Ramadan, Kementerian Pertahanan menganjurkan Majlis Sentuhan Kasih Ramadan bagi menyantuni 180 anak yatim dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan, yang diadakan serentak di tiga buah daerah.


Tumpuan utama majlis diadakan di The Rizqun International Hotel bagi penerima dari Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong.


Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan derma pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Turut hadir, para pengarah, pegawai-pegawai kanan serta warga Kementerian Pertahanan. Manakala di Daerah Tutong dan Belait masing-masing disampaikan oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.


Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada Tabung Kebajikan ABDB, Persatuan Kebajikan Isteri (BAKTI) ABDB, sumbangan daripada warga Kementerian Pertahanan dan surau-surau perkhemahan ABDB.


Usaha ini bertujuan untuk mengongsikan kegembiraan Hari Raya Aidilfitri dan meringankan beban anak-anak yatim dalam membuat persiapan menjelang hari keraian ini.


Majlis tahunan Sentuhan Kasih Ramadan adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan kementerian yang mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan dalam menerapkan nilai keprihatinan dan semangat perpaduan dalam kalangan warganya.


Dalam semangat yang sama, program ini turut berperanan dalam memelihara kebajikan keluarga warga kementerian yang telah kembali ke Rahmatullah serta memperkukuhkan ikatan kemuafakatan dan kasih sayang dalam kalangan institusi.​

Close