12 keluarga kurang berkemampuan, 14 anak yatim terima sumbangan derma



​​


Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.






KIULAP, Jumaat, 21 Mac. – Sempena dengan bulan Ramadan, Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) mengadakan Program Derma Ramadan kepada 12 keluarga kurang berkemampuan dan 14 anak yatim dari Kampung Serasa dan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Serasa bertempat di J Hotel, Kampung Kiulap.


Majlis berkenaan bertujuan untuk meringankan beban keluarga dan anak yatim yang memerlukan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Xiao Jianguo; Pemangku Ketua Kampung RPN Kampung Serasa dan Pemangku Ketua Kampung Serasa, Awang Abdul Hamid bin Haji Zinin/Haji Zainin; Ketua Pelaburan di Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Awang Ahmad Fathi bin Dato Paduka Haji Junaidi; dan pegawai-pegawai dari Bahagian Pelaburan, MOFE.


Dalam majlis berkenaan, Hengyi Industries menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah BND10,200 kepada 12 keluarga kurang berkemampuan dan 14 anak yatim.


Acara diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan Tahlil. Majlis diakhiri dengan acara berbuka puasa bersama para penerima dan tetamu jemputan.


Program Derma Ramadan adalah inisiatif utama di bawah Hengyi Cares, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut. Menerusi inisiatif berkenaan, pihak syarikat berhasrat untuk menyokong mereka yang memerlukan, memastikan keluarga yang kurang berkemampuan dan anak yatim menerima bantuan yang diperlukan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mudah dan gembira, dalam masa yang sama memupuk rasa belas kasihan dan kemurahan hati dalam bulan Ramadan yang mulia.


Close