Fokus strategik utama KHEU



​​


Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Mac. - Dalam tempoh lima tahun, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah melaksanakan rancangan strategiknya bagi Tahun 2020 - 2024 yang memfokuskan kepada tiga fokus strategik utama. Pertama, Pendidikan Ugama / Arab Berkesan; kedua, Dakwah Mantap Berkesan; dan ketiga, Kesejahteraan dan Keselamatan Sosial Terjamin.


Dengan ketiga-tiga ini dengan menetapkan 13 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang mengukur pencapaian tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai inisiatif dalam menjayakan perancangan yang ada.


Seterusnya, Fokus Pendidikan Ugama / Arab yang berkesan itu, secara keseluruhannya pada tahun 2024 boleh dikatakan berjaya mencapai sasaran KPI yang ditetapkan khususnya dalam bidang, dalam peningkatan tahap kompetensi guru, tahap pencapaian dalam peperiksaan-peperiksaan awam dan bilangan yang hafaz Al-Quran.


“Manakala bagi Fokus Dakwah Mantap Berkesan, alhamdulillah perkembangan dakwah terus diperkasa dan diperkukuhkan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan pendekatan sesuai dengan trend semasa yang ada. Dalam pada itu, pihak kementerian melihat perlunya usaha-usaha yang berterusan dengan mengambil kira sasaran, persekitaran dan cabaran-cabaran baharu".


Demikian antara yang diujarkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Sesi Kenyataan Menteri Hal Ehwal Ugama pada hari ke-13 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.


“Yang keempat, ialah berkaitan mengenai Kesejahteraan dan Keselamatan Sosial Terjamin. KHEU sebagai peneraju bersama dalam Majlis Kebangsaan Isu-isu Sosial (MKIS) akan terus komited untuk mendepani cabaran-cabaran bagi memastikan kesejahteraan dan kemasyarakatan masyarakat akan terus diambil perhatian sewajarnya. Secara umumnya pencapaian adalah baik dan mencapai sasaran yang ditetapkan khususnya dalam hal ehwal mengenai kesalahan-kesalahan jenayah syariah," ujar Yang Berhormat.


Dalam menyentuh kembali sebahagian KPI iaitu pencapaian KPI 2020 hingga 2024, pertama, dari segi Fokus Strategik Pendidikan Ugama / Arab Berkesan. Peratus pengajaran yang mencapai tahap tiga ke dalam Brunei Teachers' Standard iaitu 'performance appraisal' atau yang bersesuaian adalah sebanyak sasarannya 83 peratus lebih tetapi pencapaiannya kurang daripada itu.


“Namun, tidaklah jatuh sampai kepada 50 peratus, pencapaiannya adalah 94.8 peratus. Keterangannya adalah program-program perkembangan profesional guru yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur, yang hala tujunya bagi meningkatkan kecemerlangan tenaga akademik pengajar melalui latihan dan bimbingan yang berstruktur.


“Yang kedua, peratus sekolah pada tahap ketiga ke atas dalam penilaian standard sekolah iaitu sasaran 91 peratus, pencapaian adalah 94.7 peratus iaitu pemantauan berterusan dilaksanakan dari segi kemajuan pelajar, kepimpinan pentadbir sekolah dan prasarana sekolah yang hala tujunya bagi mengukuhkan kepimpinan yang berkarisma dan berprestasi tinggi dalam setiap peringkat pendidikan.


“Yang ketiga, ialah peratus peningkatan pencapaian Peperiksaan Awam 2024 STPUB sebanyak 45.65 peratus, SPUB 21.6 peratus, SSRU sebanyak 68.1 peratus tapi pencapaian yang ada ialah menunjukkan suatu peningkatan. STPUB dalam sasaran 45 peratus, maka pencapaiannya adalah 52.88 peratus," ujar Yang Berhormat lagi.


Pelaksanaan program-program ini, pencapaian ini daripada SPUB sasaran 21 peratus, ujar Yang Berhormat, pencapaiannya kurang sedikit peratusnya tapi masih 21.45 peratus. Cuma SSRU yang disasarkan sebanyak 68.1 peratus, pencapaian kurang daripada itu iaitu 65 peratus.


Jadi, tambah Yang Berhormat, pelaksanaan program-program intervensi telah dilakukan untuk memberikan pelajar motivasi dan juga kepada guru-guru. Kemudian peningkatan pelajar yang Khatam Al-Quran disasarkan 59 peratus, maka pencapaiannya alhamdulillah 95 peratus. Jadi, peningkatan ini adalah satu pencapaian luar biasa. 


“Faktor utamanya ialah yang menyumbang kepada kejayaan besar ini seperti kaedah hafazan yang lebih efektif, penekanan kepada motivasi pelajar dan sistem pemantauan yang lebih ketat daripada pihak institut. Hala tujunya ialah bagi meningkatkan dan mengukuhkan jalinan kerjasama dengan institusi-institusi yang lain dalam bidang yang sama.


“Begitulah juga peningkatan daripada peningkatan graduan peringkat Sarjana dan Sarjana Muda dengan kepujian adalah meningkat. Sasaran 95.97 peratus bagi MA Sarjana, bagi Sarjana Muda 98.83 peratus tapi pencapaian bagi Sarjana ialah 100 peratus dan bagi Sarjana Muda adalah meningkat sedikit peratusnya daripada 98.83 peratus menjadi 98 peratus, kurang daripada peratusnya.


“Jadi semuanya ini kalau dikira dari segi bidang pendidikan itu nyatanya memanglah ada peningkatan dan ada penurunan ada 'plus' ada 'minus'.Tetapi pada keseluruhannya Yang Berhormat Yang Di-Pertua adalah pada tahap yang boleh dikatakan baik," ujar Yang Berhormat.


Close