Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Mac. - Kanser kolorektal merupakan salah satu kanser yang paling kerap didiagnosis di peringkat global termasuk di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Mengikut data yang diperoleh daripada Daftar Kanser Brunei Darussalam, kanser kolorektal merupakan kanser paling lazim didiagnosis dalam kalangan lelaki dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita pada tahun 2023.
Menurut Pegawai Perubatan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Brunei (Brunei Centre for Disease Control and Prevention), Dr. Dayang Siti Zuhrini binti Haji Kahan kesedaran mengenai kanser kolorektal adalah penting kerana kanser kolorektal boleh dicegah melalui gaya cara hidup yang sihat dan pengesanan awal melalui saringan.
Kanser Kolorektal jelasnya, ialah kanser yang berlaku di usus besar (kolon) atau rektum, bermula apabila sel-sel di bahagian ini tumbuh secara tidak terkawal yang membawa kepada ketumbuhan. Ketumbuhan ini jelasnya lagi boleh menjadi kanser jika tidak dirawat dan apabila menjadi kanser, ia boleh merebak ke bahagian yang lain di tubuh badan.
Dr. Dayang Siti Zuhrini juga menerangkan pengertian kolon (usus besar) iaitu organ yang menyerap air dan nutrien daripada makanan yang telah dicerna sebelum sisa makanan dihantar ke rektum iaitu bahagian akhir usus besar yang menyimpan najis sebelum dibuang dari badan melalui dubur.
Menurut Dr. Dayang Siti Zuhrini antara tanda-tanda kanser kolorektal yang sering dilaporkan adalah seperti rasa tidak selesa di kawasan perut seperti kembung, kejang atau terasa tajam; benjolan atau bengkak di kawasan perut atau perubahan pada warna najis seperti najis boleh menjadi hitam ataupun berdarah.
Ujarnya lagi, tanda-tanda juga termasuklah lelehan atau lendir yang luar biasa dari dubur dan perubahan tabiat membuang air besar - ada yang mengalami sembelit atau cirit-birit berpanjangan atau ada yang berasa seperti najis tidak habis dikeluarkan, walaupun sudah ke tandas.
“Selain itu, tanda-tanda kanser kolorektal juga termasuk susut berat badan tanpa sebab (bukan kerana perubahan diet atau bersenam); berasa letih atau lesu tanpa sebab ini kerana kanser boleh menyebabkan tubuh kehilangan tenaga dengan cepat; hilang selera makan tanpa sebab; kurang darah merah (anaemia) dan jika awda selalu berasa pening atau lemah, ini boleh berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan darah merah melalui usus tanpa awda sedari; dan sakit punggung, yang mana pada peringkat lanjut, sesetengah pesakit mengalami kesakitan di bahagian punggung atau belakang," tambahnya.
Bagi sesiapa yang mengalami tanda-tanda berkenaan adalah dinasihatkan berjumpa dengan doktor di pusat kesihatan yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.
Dr. Dayang Siti Zuhrini seterusnya menerangkan beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit ini termasuk peningkatan umur yang mana risiko lebih tinggi bagi mereka yang berumur 50 tahun ke atas; jantina – lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada wanita; berat badan berlebihan atau obesiti (individu yang mempunyai berat badan berlebihan lebih berisiko kerana pengumpulan lemak boleh menyebabkan perubahan dalam sel usus besar).
Mempunyai sejarah keluarga yang mana terdapat ahli keluarga terdekat pernah menghidap kanser kolorektal juga merupakan antara faktor yang boleh meningkatkan risiko selain menghidap penyakit radang usus (Inflammatory Bowel Disease, IBD) - penyakit seperti Ulcerative Colitis atau Crohn's Disease boleh menyebabkan keradangan berterusan pada usus di mana dinding usus mengalami iritasi dan bengkak.
Faktor yang meningkatkan risiko menghidap kanser kolorektal juga termasuk mereka yang pernah menghidap polip atau kanser kolorektal iaitu jika seseorang pernah mempunyai polip di usus besar. Polip ialah ketumbuhan kecil yang tumbuh di dinding usus. Sebilangan besar polip adalah tidak berbahaya dan tidak menyebabkan sebarang gejala tetapi polip boleh berkembang menjadi kanser jika tidak dikesan dan dirawat awal.
Tabiat merokok juga boleh meningkatkan risiko menghidap kanser kolorektal di samping dikaitkan dengan kanser paru-paru selain pengambilan alkohol secara berlebihan yang boleh menyebabkan perubahan dalam sel usus yang meningkatkan risiko kanser.
Diet rendah serat dan tinggi lemak iaitu memakan terlalu banyak daging merah, makanan diproses, dan makanan berlemak, tetapi kurang buah-buahan, sayur-sayuran dan serat, boleh menyumbang kepada risiko yang lebih tinggi.
“Faktor-faktor risiko ini hanya meningkatkan risiko tetapi ia tidak bermaksud seseorang akan mendapat kanser. Apa yang kami ingin sarankan ialah jika awda mempunyai tanda-tanda atau risiko kanser dan berasa risau tentang kesihatan awda, dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut dengan segera," terang Dr. Dayang Siti Zuhrini.