Produk Gastrointestinal, Royal Canin mengandungi bahan daripada khinzir





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal telah menerima aduan mengenai produk makanan kucing iaitu produk Gastrointestinal jenama Royal Canin.


Berikutan aduan tersebut, pemeriksaan telah dijalankan dan mendapati bahawa produk berkenaan disahkan mengandungi bahan daripada khinzir 'Pork by products' seperti yang tertera pada pembungkusan produk tersebut.


Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin menasihatkan para pemilik perniagaan yang ada menjual produk tersebut di premis-premis mereka dan mana-mana produk makanan haiwan lain yang mengandungi bahan daripada khinzir supaya mengasingkan penjualannya daripada produk lain dengan serta-merta daripada penjualan kepada orang awam.


KHEU juga ingin mengingatkan kepada para pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk adalah yang halal dan suci tidak bercampur dengan yang tidak halal demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.


Di kesempatan ini, KHEU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai di atas maklumat berhubung perkara tersebut.


Orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian hotline +673-7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.


Close